Skip to main
Logo Malaysiakini

Ukuran kejayaan reformasi tak bergantung pada jumlah menteri

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Agenda reformasi yang dibawa PKR mesti diterjemahkan melalui dasar dan program untuk rakyat, kata setiausaha agung parti itu, Saifuddin Nasution Ismail, hari ini.

Dia juga mengingatkan para perwakilan bahawa kejayaan PKR dalam usaha reformasi tidak boleh diukur melalui bilangan peranan yang dipegang oleh ahli parti dalam kerajaan.

“Kejayaan reformasi, sama ada di mata kita atau di mata rakyat, akan diukur dengan kejayaan kita menterjemahkannya untuk memberi manfaat kepada rakyat.

“Ia bukan melalui berapa ramai menteri, atau menteri besar, exco, ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri (Adun).

“Itu bukan ukuran kejayaan kita,” tegasnya semasa berucap pada konvensyen khas ulang tahun ke-25 PKR yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata perwakilan perlu belajar daripada pengalaman gerakan reformasi lalu - yang gagal di negara lain - kerana pemimpinnya mengabaikan cita-cita pembaharuan mereka selepas mengambil alih kerajaan.

Memetik gerakan reformasi yang di Afrika dan Eropah, , menteri dalam negeri itu berkata pemimpin di negara terbabit meninggalkan aspirasi masing-masing apabila mereka mula 'mengumpul kekayaan’ untuk kepentingan peribadi.

“Ketika mereka menjadi pembangkang, mereka menderita; apabila mereka menjadi kerajaan dan menikmati faedah (menjadi kerajaan), mereka lupa prinsip asas perjuangan mereka.

"Sebaliknya, mereka mengumpul kekayaan - yang tidak membawa kejayaan kepada perjuangan reformasi," tambahnya.

Untuk rekod sebelum ini wujud kritikan kuat daripada penyokong PKR bahawa reformasi berjalan perlahan dalam kerajaan sekarang.

Mereka juga merungut apabila menganggap tiada sebarang peningkatan dan kemajuan yang ketara apabila Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menjadi perdana menteri.

Sementara itu, Saifuddin memuji Anwar kerana menjadi pemimpin yang optimis serta memberangsangkan walaupun ketika parti itu mengalami prestasi hambar semasa PRU 2004.

Senator terbabit turut mengimbau kembali detik PKR hanya memenangi satu kerusi pada tahun berkenaan, iaitu melalui presidennya ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail, di Permatang Pauh.

Walaupun kalah, kata Saifuddin, Anwar - yang berada di sebalik tembok penjara ketika itu - masih menulis surat mengucapkan tahniah kepada PKR atas 'prestasi cemerlang’.

“Dia (Anwar) meminta ahli parti bertenang. Dia juga mengarahkan saya mengumpul maklumat tentang kekuatan dan kelemahan parti untuk persiapan masa depan,” katanya.