Skip to main
Logo Malaysiakini

Langkah politik PKR tak lagi garang kerana kekangan sebagai kerajaan

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Gerak kerja PKR ketika ini tidak lagi dapat dibuat dengan begitu 'ranggi' seperti semasa parti itu berada di blok pembangkang, kata timbalan presidennya Rafizi Ramli.

Menurutnya hal itu kerana sebahagian besar daripada watak yang pernah menggerakkan usaha tersebut sudah meyertai kerajaan.

Justeru katanya mereka terikat dengan pelbagai kekangan.

"Sebahagian besar pimpinan kita (PKR) adalah pimpinan kerajaan (ketika ini). Justeru apabila bercakap sebagai kerajaan kita terikat dengan dasar dan kerahsiaan serta aturan pentadbiran," katanya pada konvensyen khas PKR sempena sambutan 25 tahun parti itu di Shah Alam, hari ini.

Pada masa sama dia yang juga menteri ekonomi menjelaskan PKR tidak boleh dilihat bersikap terlalu terlalu menyerang (offensive) kerana mereka perlu mengimbangi tugas sebagai kerajaan.

Pun begitu, Rafizi berkata, di sebalik cabaran dilalui parti, sebahagian besar ahli tetap bermotivasi membawa usaha reformasi yang menjadi asas kepada gerakan PKR.

"Parti ini lebih besar daripada parti politik semata-mata kerana ini adalah keluarga kita selama 25 tahun yang lepas.

"Motivasi terbesar kita mengekalkan kesetiaan kepada parti ialah kerana parti ini adalah kawan-kawan dan keluarga kita yang telah jatuh bangun bersama dalam perjuangan parti," tambahnya.

Ahli Parlimen Pandan itu juga memberitahu pada suatu ketika ahli dan aktivis PKR memang dikenali sebagai individu mahir menganjur demonstrasi sehingga ia membantu parti berkenaan bertahan selama suku abad.

Katanya mereka itulah yang menjadi antara pelopor ceramah politik melalui media alternatif atau sosial medial seperti Facebook.

Pun begitu, kata timbalan presiden parti berkenaan, kemahiran tersebut kini diciplak oleh pihak lawan dan digunakan pula bagi menyukar serta menggugat kerajaan perpaduan.

"Itu (kemahiran dulu) kekuatan yang kita bina dari awal yang sekarang ini telah digunakan oleh lawan untuk melawan kita.

"Sekarang ini kita lihat kemahiran itu diciplak oleh orang yang pernah berada dalam Keadilan (PKR). Dia gunakan untuk tembak kita.

Dalam ucapan yang sama Rafizi juga sempat berseloroh dengan menceritakan bagaimana Anwar Ibrabhim suatu ketika dulu sering menggesa dia untuk berumah tangga.

"Orang yang paling banyak membebel suruh saya kahwin adalah Datuk Seri Anwar, kalau dia tidak membebel (mungkin) saya kahwin lambat lagi," ujarnya.

Terdahulu, Rafizi merasmikan dua pelan kerja PKR sebagai persediaan parti itu menghadapi PRU ke-16 dan pemerkasaan organisasi parti.