Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid sokong Najib: Hassan terkenang Musa jauhi Mahathir

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Seorang ahli parlimen kerajaan mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid Hamidi menandatangani afidavit menyokong permohonan Najib Razak untuk menjalani hukuman penjara secara tahanan rumah.

Sambil berkata bahawa tindakan sedemikian adalah tindakan mencabar kerajaan, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mencadangkan agar Ahmad Zahid mencontohi bekas timbalan perdana menteri, Musa Hitam, dengan meletak jawatan daripada kabinet.

Dalam satu kenyataan panjang lebar hari ini, Hassan memetik peletakan Musa pada 1986 kerana tidak bersetuju dengan keputusan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketika itu.

Justeru Hassan mempersoalkan sama ada Ahmad Zahid bersedia mengikuti jejak langkah Musa.

“Apakah implikasi undang-undang apabila seorang timbalan perdana menteri yang kini dalam pentadbiran dan presiden parti komponen kerajaan perpaduan bersumpah dalam afidavit dalam prosiding semakan kehakiman yang mencabar keputusan kerajaan, memandangkan timbalan perdana menteri adalah sebahagian daripada kabinet?

“Semakan kehakiman adalah satu permohonan oleh satu pihak sama ada individu, organisasi atau pertubuhan berdaftar atau sesebuah syarikat atau korporat yang memohon kepada mahkamah supaya disemak sesuatu keputusan atau tindakan yang telah diambil oleh kerajaan.

“Jika bekas perdana menteri (Najib) memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap kerajaan dan menamakan beberapa responden terdiri daripada beberapa menteri kerajaan, termasuk peguam negara, pengarah penjara dan lembaga pengampunan, maka ia bermakna si pemohon itu mencabar keputusan lembaga pengampunan dan kerajaan dengan anggapan dan dakwaan serta tuduhan bahawa keputusan yang dibuat itu keputusan yang silap.

“Apabila seorang timbalan perdana menteri kerajaan (Ahmad Zahid) mengikrarkan afidavit dan bersumpah atas jawatannya sebagai timbalan perdana menteri dan juga sebagai presiden parti komponen kerajaan yang menyokong permohonan bekas perdana menteri, maka ia bermakna timbalan perdana menteri yang secara rasmi mencabar keputusan lembaga pengampunan dan keputusan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April, presiden Umno itu menyokong dakwaan Najib bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 memberikan titah tambahan (adendum) meminta agar Najib dibenarkan menjalani tahanan di rumah.

Sebelum itu Najib - yang juga bekas ahli parlimen Pekan dan pernah menjadi menteri besar Pahang - diberikan keringanan tempoh penjara dan denda selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Ahmad Zahid mendakwa semasa mesyuarat di rumahnya di Country Heights pada 30 Jan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kepadanya mengenai kewujudan titah tambahan Agong bertarikh 29 Jan.

Hassan kemudiannya bertanya apakah implikasi undang-undang dan etika seperti prinsip tanggungjawab kolektif sekiranya timbalan perdana menteri menjarakkan diri daripada keputusan lembaga pengampunan.

“Pada tahun 1986 terdapat duluan apabila Musa meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri dan meninggalkan kabinet kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran Mahathir.

“Sehingga kini, orang ramai menghormati tindakan berprinsip yang dilakukan oleh Musa.

“Jadi, adakah timbalan perdana menteri kerajaan perpaduan sekarang - yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan dan lembaga pengampunan - perlu mencontohi tindakan beretika dan berprinsip Musa?” soal Hassan.

Tambah pemimpin PKR itu, mengikut Perlembagaan Persekutuan, fungsi dan tanggungjawab menteri kabinet termasuk perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri adalah mereka bertindak secara kolektif dan bertanggungjawab bersama.

“Sebarang keputusan kabinet adalah keputusan bersama yang semestinya dipertahankan dan mereka dipertanggungjawabkan bersama.

“Prinsip yang perlu dipakai ialah prinsip rakit yang terikat kemas yang tetap bersama naik ataupun turun di kala air pasang ataupun surut,” tegas Hassan.