Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelantan rekod pertambahan ahli baru PKR kedua tertinggi

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Kelantan mencatatkan peningkatan keanggotaan baru kedua tertinggi dalam PKR, kata setiausaha agungnya Saifuddin Nasution Ismail.

Memetik data setakat 21 Mac tahun ini, Saifuddin berkata negeri yang dikuasai PAS itu mencatatkan pertambahan 2,027 ahli baru sejak 24 Jun tahun lalu.

Pertambahan itu, katanya, menjadikan jumlah ahli PKR di Kelantan kini sekurang-kurangnya seramai 60,356 orang.

“Terdapat tambahan 16,529 ahli baru PKR di seluruh negara dalam tempoh sembilan bulan.

“Lonjakan ahli baru di Kelantan adalah antara yang tertinggi di negara ini, menduduki ranking kedua selepas Selangor yang mencatatkan 5,770 ahli baru,” katanya semasa berucap pada konvensyen khas ulang tahun ke-25 PKR di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, Saifuddin turut menyatakan Selangor kekal sebagai negeri dengan bilangan ahli keseluruhan PKR tertinggi iaitu 344,386 orang, diikuti diikuti Sabah (185,004 orang) dan Sarawak (86,315 orang).

Secara keseluruhannya, menurut Saifuddin, parti pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim merekodkan seramai 1,153,212 ahli sehingga Mac tahun ini.