Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR sasar jadi gergasi dalam politik negara

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

PKR sedang merangka langkah untuk menjadi "gergasi" dalam politik di negara ini.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata untuk mencapai matlamat itu semua ahli parti - bermula dari peringkat akar umbi - perlu melaksanakan gerak kerja yang lebih jitu untuk meningkatkan kekuatan parti berkenaan.

Pada masa sama, Anwar berkata, mereka juga perlu bertindak lebih agresif menjelaskan dasar serta program parti kepada orang ramai.

"Pertama, keanggotaan mesti ramai, ranting mesti hidup dan cabang-cabang mesti segar.

"MPN (majlis pimpinan negeri) harus lebih aktif dan jentera jawatankuasa mesti lebih hebat berbanding dulu.

"Parti perlu agresif menerangkan sikap dan pendirian serta bersungguh-sungguh perkuat jentera kita supaya Keadilan (PKR) muncul sebagai gergasi dalam sistem politik negara kita," katanya.

Anwar yang juga perdana menteri berkata demikian dalam ucapannya pada konvensyen khas PKR sempena sambutan 25 tahun parti itu di Shah Alam, hari ini.

Anwar juga sempat mengingatkan para ahli bahawa strategi kemenangan perlu disusun dengan rapi jika mahu menewaskan lawan yang menggunakan naratif perkauman dan agama.

"Hebat seperti mana pun laungan kita, benar bagaimanapun perjuangan kita tetapi kalau tidak disusun rapi dengan jentera yang kemas kita akan tewas dengan orang yang melaungkan slogan 'hidup Melayu' atau 'laksanakan Islam' walaupun kita tahu rekod mereka itu hambar belaka," katanya lagi.

Dia berkata proses ini akan turut dibantu oleh Sekretariat Pejabat Presiden untuk memberi maklumat lebih terperinci dan akan memantau secara dekat.

“Saya telah minta beberapa teman untuk membantu saya, untuk bantu jentera yang ada supaya memberi maklumat dan memantau secara dekat pelaksanaan baik di peringkat negeri, cabang dan ranting,” katanya lagi.