Skip to main
Logo Malaysiakini

PN umum calon PRK Kuala Kubu Bharu 25 April

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu akan diumumkan pada 25 April (Khamis) ini, kata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pada mesyuarat (Majlis Tertinggi Pimpinan PN) esok, kita akan berbincang calon mana yang paling sesuai atas dasar boleh menang. Kita ada banyak calon, tetapi apa pun mana-mana parti yang ada cadangan nak kemukakan nama calon (lain) kita terima.

“Kita akan nilai siapa calon yang akan dinamakan dari segi kelayakkan akademik dan penglibatan dalam badan bukan kerajaan. Sebaiknya calon yang dikemukakan ialah calon dari kawasan Hulu Selangor dan tempatan, kerana sentimen orang tempatan perlu diambil kira,” katanya dalam sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu di Kuala Kubu Bharu hari ini.

Pada pilihan raya negeri tahun lepas, mendiang Lee Kee Hiong daripada DAP berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (Muda), dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia) dengan majoriti 4,119 undi.

Kerusi itu kosong selepas Lee meninggal dunia pada 21 Mac dan pengundian bagi pilihan raya kecil itu akan berlangsung pada 11 Mei, manakala hari penamaan calon pada 27 April.

-Bernama