Skip to main
Logo Malaysiakini

'Premier Sarawak setaraf dengan TPM dalam protokol persekutuan'

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Timbalan Premier Sarawak Dr Sim Kui Hian memberi peringatan semalam bahawa kedudukan premier Sarawak kini sama taraf dengan timbalan perdana menteri dalam protokol persekutuan.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Sim berkata perubahan protokol itu diarahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi kabinet dan pekeliling yang dikeluarkan oleh ketua setiahusaha negara kepada semua penjawat awam.

"Kedudukan (Premier Sarawak) tidak lagi selepas atau di belakang mana-mana menteri persekutuan dalam sebarang program rasmi persekutuan," katanya.

Sim berkata perubahan itu mencerminkan status Sarawak selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan pada Februari 2022, yang turut mengubah jawatan ketua pentadbiran daripada "ketua menteri" kepada "premier".

Dalam hantaran tersebut, Sim turut mengongsikan beberapa gambar majlis rumah terbuka Sarawak pada Ahad lalu.

Adun Batu Kawah itu membangkitkan dewan tempat acara itu diadakan bernama "Dewan Undangan Sarawak" dan bukannya "Dewan Undangan Negeri Sarawak".

"Inilah masanya untuk semua penduduk Sarawak menyokong perubahan kecil namun signifikan ini," katanya sambli menambah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin telah mengiktiraf status Sarawak sebagai wilayah.

"Marilah kita menjadi konsisten dan bermula dengan kita (penduduk Sarawak) tidak memanggil Sarawak sebagai 'negeri'.

"Jadi (istilah yang tepat) adalah kerajaan Sarawak, bukannya kerajaan negeri Sarawak," katanya lagi.