Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis: OCPD Lahad Datu antara yang disiasat kes kematian anaknya

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes kematian anak perempuan ketua polis daerah Lahad Datu berusia 14 tahun dipercayai tertembak diri sendiri secara tidak sengaja menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka, Selasa lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata siasatan lanjut itu juga turut melibatkan ketua polis daerah tersebut.

"Siasatan ke atasnya dijalankan sebab dia yang memiliki pistol berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali dan Adun Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar di Papar, Sabah hari ini.

Jauteh berkata siasatan juga masih belum dapat membuat sebarang kesimpulan sama ada kes tersebut ada kaitan dengan kecuaian atau sebaliknya.

"Itu yang kita belum dapat buat keputusan. Belum kita dapat keputusan muktamad selagi belum ada laporan penuh hasil siasatan," katanya.

Jauteh berkata pihaknya juga belum ada keputusan sama ada ketua polis daerah berkenaan digantung tugas kerana siasatan masih diteruskan.

Mangsa diremui dalam keadaan berlumuran darah dalam bilik di rumahnya di Taman Tabanak, Lahad Datu pada 16 April adalah disebabkan tembakan di bahagian dada kanan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah DCP Datuk Shahurinain Jais berkata hasil siasatan mendapati hanya satu das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan hasil bedah siasat di Hospital Lahad Datu merumuskan tembakan berkenaan terkena pada bahagian dada kanan mangsa.

-Bernama