Skip to main
Logo Malaysiakini

'Berkorban untuk kepentingan ramai' - Penduduk Tmn Medan bantah PJD Link batal

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Sejumlah persatuan penduduk di DUN Taman Medan di Petaling Jaya berkata kalangan yang membantah projek Lebuhraya Penyuraian Petaling Jaya (PJD Link) agar "berkorban" demi kepentingan ramai.

Pengerusi Pertubuhan Komuniti Petaling Jaya Mohd Yusri Ramli berpandangan pembatalan sepenuhnya projek itu akan mengakibatkan masalah kesesakan lebuh raya di Lembah Klang akan berterusan.

Mohd Yusri mengakui projek itu akan mengganggu sebahagian kawasan perumahan namun itu saja alternatif bagi mengatasi isu kesesakan di situ.

“Kami orang Petaling Jaya saban hari tertekan dengan kesesakan di Lembah Klang ini. Kawasan kami berdekatan dengan Kuala Lumpur, jadi sesiapa ingin ke sana harus melalui jalan kami.

“Dengan kewujudan aplikasi seperti Waze menyebabkan ramai pemandu melalui jalan di kawasan perumahan kami sebagai laluan pintas,” katanya ketika sidang media bagi membantah pembatalan projek PJD Link seperti yang diumumkan Fahmi Fadzil selaku jurucakap kerajaan pada 17 April lalu.

Gabungan persatuan itu juga merancang untuk menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum mesyuarat kabinet esok.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri menyifatkan PJD Link buka saja akan memberi manfaat kepada penduduk di Petaling Jaya, malah di Lembah Klang.

"Ia akan memberi kebaikan kepada mereka yang tinggal di Kuala Lumpur, Shah Alam, Puchong dan Sungai Buloh yang boleh memanfaatkan lebuh raya ini untuk menggantikan Lebuhraya Persekutuan.

“Saya akui memang ada rumah yang akan terkesan serta terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya ini. Namun pihak pemegang konsensi telah membuat kajian sehabis baik bagi mengurangkan impak negatif kepada penduduk.

“Berkorbanlah sedikit untuk kepentingan maksimum penduduk lain secara umumnya,” katanya lagi.

Pemaju PJD Link (M) Sdn Bhd (PJD Link) menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan Malaysia pada 5 April 2022.

Projek itu menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya, melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, pusat bandar Petaling Jaya, Taman Dato' Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Taman Teknologi Bukit Jalil.

Susulan pengumuman Fahmi, PJD Link berkata pihaknya sedang meneliti permintaan untuk mengkaji semula jajaran lebuh raya itu.

Mendakwa yang pihaknya belum "dimaklumkan secara rasmi" berkenaan pembatalan tersebut, PJD Link berkata pihaknya bersedia untuk menangani sebarang salah tanggapan mengenai projek itu dan terlibat dalam perbincangan berterusan.

Pada Sabtu lalu, sejumlah penduduk Kinrara di Puchong menggesa kerajaan untuk menamatkan perjanjian konsesi dengan PJD Link secara sepenuhnya.

Penduduk tempatan A Dhanaraj - yang juga jurucakap Gerakan Menentang Penilaian Impak Tebuk Atap - berkata ia bagi memastikan projek itu tidak dikembalikan di masa akan datang.

Seorang penduduk Taman Medan, Mohd Razali Abdullah pula membangkitkan pampasan yang perlu dibayar kerajaan apabila membatalkan projek itu.

“Wang yang akan dibayar ini daripada siapa? Sudah tentu menggunakan wang rakyat,” katanya, sambil menambah ia akan turut merugikan ramai kontraktor kecil tempatan.

"Projek ini bernilai beberapa bilion. Kalau 10 peratus nilainya diterima kontraktor kecil, mereka akan mendapat keuntungan berjuta," katanya lagi.

Katanya lagi, walaupun lebuhraya itu tidak akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya sepenuhnya, ia mampu mengurangkannya.

“Pengguna jalan raya akan mempunyai pilihan sama ada menggunakan laluan PJD Link atau jalan lama,” katanya lagi.