Skip to main
Logo Malaysiakini

PRK KKB: Kita akan pecahkan hubungan PH-BN yang kini retak, kata Sanusi

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya akan berusaha agar hubungan parti-parti dalam kerajaan yang menurutnya kini retak “menjadi belah”.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika mengulas hasrat MCA dan MIC untuk memboikot PRK Kuala Kubu Bharu.

Dia berkata apa yang berlaku itu jelas memberi kelebihan kepada PN dalam PRK itu.

"Itu masalah rumah tangga mereka.

"Kita akan retakkan lagi untuk menjadi belah. Mereka sudah retak, kita akan pecahkan lagi. Itu kerja politik," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut berhubung perkara itu.

Semalam, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata MCA dan MIC lebih baik memberi sokongan kepada gabungan itu dalam PRK tersebut berbanding memboikotnya.

Mengulas mengenai calon PN yang akan diumumkan pada 25 April ini, Muhammad Sanusi berkata dia akan menerima sebarang keputusan yang akan ditetapkan nanti.

Dia berkata cadangannya agar PN meletakkan calon Melayu sebelum ini hanyalah pandangan peribadi.

"Bila bawa ke mesyuarat dan diputuskan, kita akan ikut keputusan mesyuarat," katanya.

‘PN telah putuskan calon PRK Kuala Kubu Bharu’

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden pula memaklumkan PN telah memuktamadkan calon bagi PRK Kuala Kubu Bharu dan ia disepakati oleh semua parti komponennya.

“Pengumuman akan dibuat oleh PN pada 25 April ini dan ia disepakati oleh semua setelah dibincang panjang,” katanya ringkas kepada pemberita selepas mesyuarat PN di Kuala Lumpur lewat petang tadi.

Mengulas berkenaan penyertaan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dalam PN, Afnan menyambut baik dan menyifatkan ia tanda keterbukaan gabungan itu.

Afnan Hamimi

“Satu keterbukaan dalam PN untuk menerima kepelbagaian kaum dan sudah tentu kita buat keputusan itu akan memberikan keuntungan dan kelebihan kepada PN," katanya.

Berkenaan penyertaan parti itu sebagai satu lagi cara untuk PN menarik sokongan bukan Melayu, Afnan bersetuju dengan pandangan itu tetapi menegaskan gabungan itu memang terbuka menerima mana-mana pihak yang menerima aspirasi perjuangannya.

MIPP memohon untuk menyertai PN pada 2023.

Terdahulu, Presiden MIPP SP Punithan memaklumkan parti itu telah diterima sebagai anggota penuh PN.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan seluruh kepimpinan PN di atas pengiktirafan dan sokongan sebulat suara oleh parti-parti komponen iaitu Bersatu, PAS, Gerakan, dan SAPP untuk menerima MIPP sebagai anggota penuh,” katanya.