Saksi: Najib tak pernah arah pindah AS$1.03b ke syarikat milik Jho Low
KES 1MDB | Seorang pegawai penyiasat SPRM memberi keterangan yang bekas perdana menteri Najib Razak tidak pernah mengarahkan mana-mana pegawai pengurusan SPRM untuk memindahkan wang berjumlah AS$1.03 bilion ke entiti luar pesisir, Good Star Limited yang dikaitkan dengan Low Taek Jho (Jho Low).
Nur Aida Arifin menyatakan demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin dalam perbicaraan untuk empat pertuuhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.21 bilion terhadap Najib, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Ketika pemeriksaan balas hari ini, Wan Azwan bertanya Nur Aida berhubung transaksi 1MDB antara 2009 hingga 2011.
Nur Aida, yang kerupakan saksi pendakwaan ke-49, setuju yang berdasarkan bukti dokumen, anggota pengurusan 1MDB - bekas CEO Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan tiga individu lagi - membenarkan pemindahan wang itu.
Tiga individu tersebut adlaah bekas ketua pegawai kewangan (CFO) Radhi Mohamad dan Terence Geh, serta bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan Casey Tang.
Azwan: Anda setuju yang Najib tak pernah arahkan mana-mana individu daripada pengurusan 1MDB untuk pindahkan AS$1.03 bilion ke Good Star?
Nur Aida: Setuju.
Dalam keterangan sebelum ini, dia turut mengesahkan sejumlah AS$1.03 bilion dipindahkan ke akaun milik Good Star, yang menurut pihak pendakwaan sebagai sebuah entiti yang tidak pernah menjadi subsidiari Petrosaudi International (PSI), syarikat yang mengadakan usaha sama dengan 1MDB.
Jho Low didakwa jadi proksi Najib
Pendakwaan menyatakan pada September 2009, AS$700 juta daripada dana 1MDB untuk usaha sama tersebut dialihkan ke Good Star, manakala AS$300 juta lagi dipindahkan ke syarikat itu pada Mei 2011.
Pendakwaan turut mendakwa yang pegawai pengurusan 1MDB patuh kepada arahan Jho Low, yang dikatakan sebagai bayang-bayang kepada Najib.
Perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok dan Sabtu ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai