Skip to main
Logo Malaysiakini

PANDUANKINI | Apakah parallel pathway, mengapa menjadi isu?

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

PANDUANKINI | Beberapa minggu lalu, beberapa pihak bertentangan pandangan mengenai program parallel pathway untuk pegawai perubatan melanjutkan pengajian ke peringkat pakar.

Pertikaian itu muncul berikutan kenyataan kerajaan yang mereka sedang mempertimbangkan cadangan meminda Akta Perubatan 1971 untuk membuka peluang tersebut.

Panduankini meneroka program tersebut, bagaimana isu timbul dan mengapa sesetengah pihak membantah cadangan pindaan berkenaan.

Apa itu parallel pathway?
Ia sebahagian daripada program latihan pascasiswazah menyeluruh dan merupakan sebahagian daripada proses untuk akhirnya menjadi subpakar di Malaysia

Melalui program itu ia membolehkan pegawai perubatan profesional Malaysia mendapatkan latihan kepakaran untuk kelulusan pascasiswazah terpilih di luar negara bagi mengatasi masalah kekurangan pakar di negara ini.

Mengapa program parallel pathway penting?
Malaysia mengalami masalah kekurangan pakar yang serius namun pada masa sama tiada program tempatan yang mencukupi untuk melahirkan golongan terbabit.

Menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), nisbah penduduk Malaysia dengan pakar perubatan ialah 10,000 : 4, jauh lebih rendah berbanding purata Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) iaitu 10,000 : 14.3.

The Star memetik Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz sebagai berkata, ketika ini negara memiliki kurang daripada 13,000 pakar perubatan di sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta.

Katanya daripada jumlah itu kira-kira 9,000 pakar perubatan berkhidmat di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Satu-satunya program latihan pakar bagi pembedahan kardiotoraks di Malaysia ialah usahasama antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan Institut Jantung Negara (IJN), namun institusi pengajian tinggi terbabit hanya menawarkan tempat kepada bumiputera.

Kebimbangan itu mendorong UiTM untuk menawarkan program tersebut kepada pelatih bukan bumiputera buat sementara waktu sehinggalah program sama ditawarkan di Universiti Malaya (UM).

Mengapa isu ini menjadi perhatian?
Pada 20 Mac lalu, empat graduan yang menjalankan program latihan ijazah lanjutan kepakaran bersama Royal College of Surgeons Edinburgh dalam pembedahan kardiotoraks memfailkan permohonan semakan kehakiman bersama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pembedahan kardiotoraks secara umumnya merujuk kepada pembedahan untuk jantung, paru-paru, esofagus dan organ-organ berkaitan lain yang berada di dalam dada.

Semakan kehakiman tersebut adalah untuk mencabar keputusan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) yang menolak permohonan graduan terbabit pada 21 Dis lalu untuk mendaftar di Pendaftaran Pakar Kebangsaan (NSR).

MMC dikatakan menolak pendaftaran mereka kerana kelulusan Persekutuan Kolej Pakar Bedah Diraja Edinburgh dalam Pembedahan Kardiotoraks (FRCS Ed) tidak diiktiraf.

Mengapa MMC membuat keputusan tersebut?
Ketua Eksekutif MMC Dr Mohamed Anas Mohamed Hussain merujuk kepada Seksyen 14B Akta Perubatan dalam suratnya kepada graduan terbabit pada 21 Dis 2023.

Menurut laman web berita kesihatan CodeBlue, seksyen tersebut menyatakan hanya pengamal dengan kelayakan khusus yang diiktiraf boleh didaftarkan sebagai pakar.

Dr Muhammad Radzi Abu Hassan

Dia juga merujuk kepada senarai lulusan ijazah kedoktoran yang diiktiraf oleh MMC pada 2017 dan pembedahan kardiotoraks oleh FRCS Ed tidak termasuk dalam senarai tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan akhbar pada 25 Mac juga menyatakan bahawa pembedahan kardiotoraks FRCS Ed tidak pernah termasuk dalam kelulusan ijazah kedoktoran yang diiktiraf kerajaan.

Siapakah empat graduan yang memohon semakan kehakiman?
Mereka ialah Dr Nur Aziah Ismail, Dr Syed Nasir Syed Hassan, Dr Chong Kee Soon dan Dr Lok Yuh Ing.

Aziah dan Chong bekerja di IJN, manakala Syed Nasir dan Lok berkhidmat di KKM.

Adakah mereka sahaja profesional kesihatan yang merujuk ke mahkamah?

Menurut CodeBlue, cabaran dibawa empat individu terbabit adalah tindakan undang-undang kali ketiga yang diambil berkenaan isu tersebut.

Dua kesn lain melibatkan pakar bedah saraf dengan kelulusan FRCS Ireland dan enam graduan patologi dalam genetik perubatan dari Universiti Sains Malaysia.

Mahkamah tinggi memberi kebenaran bagi kedua-dua permohonan semakan kehakiman berkenaan.

Mengapa mereka mengejar 'kelayakan yang tidak diiktiraf'?
Dalam pemfailan mahkamah, mereka menyatakan bahawa MMC telah berulang kali memberi isyarat parallel pathway untuk pembedahan dan FRCS Ed diiktiraf.

Antaranya e-mel pada 26 Nov 2019 daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Perubatan MMC ketika itu, Dr Victor Lim.

E-melnya kepada Persatuan Perubatan Thoracic dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS) itu menyatakan berkata lulusan FRCS Ed "adalah kelulusan ijazah kedoktoran yang diiktiraf untuk berdaftar dengan NSR."

Graduan tersebut juga mengatakan MMC menerbitkan senarai kelayakan ijazah kedoktoran yang diiktiraf pada laman web NSR yang termasuk FRCS Ed.

Maklumat ini juga disebarkan dalam dua lampiran pada satu e-mel kepada pemegang taruh pada 9 Mei 2023, dan kedua-dua lampiran berkenaan menunjukkan FRCS Ed merupakan lulusan yang diiktiraf untuk berdaftar dengan NSR.

Bagaimanapun, dalam surat kepada CodeBlue, seorang bekas ahli MMC yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu program latihan ijazah lanjutan kepakaran pembedahan kardiotoraks dari Kolej Pembedahan Diraja Edinburgh "dimulakan tanpa proses yang sewajarnya" oleh Majlis Akreditasi Kelayakan Tenaga Perubatan Kardiovaskular (MATCVS) tanpa mendapatkan penjelasan daripada MMC sehingga 2022.

Bekas ahli MMC itu turut mendakwa Kolej Pembedahan Diraja Edinburgh tidak mengemukakan dokumen pengiktirafan kepada Majlis Perubatan Am United Kingdom bagi program pembedahan kardiotoraks.

"Bukan tugas MMC untuk menyatakan bahawa program-program mereka tidak diiktiraf. Ia adalah tugas para penganjur," katanya.

Dia enggan dikenali kerana bimbang serangan lisan terhadap mana-mana rakan sekerja yang menyatakan pandangan mereka menentang program parallel pathway.

Sementara itu, Radzi dalam kenyataan, berkata MMC menafikan bahawa mereka pernah mengiktiraf FRCS Ed dalam pembedahan kardiotoraks.

Apakah FRCS Ed dan adakah ia organisasi yang boleh dipercayai?
Menurut British Council, FRCS adalah kelulusan profesional yang diperlukan untuk berkhidmat sebagai pakar bedah di UK dan Republik Ireland.

"Peperiksaan (bertulis, lisan, dan klinikal) memainkan peranan penting dalam menjaga paiwaian," katanya.

FRCS Ed merujuk kepada pengiktirafan yang diberikan oleh Kolej Pembedahan Diraja (RSC) Edinburgh, sebuah organisasi ahli bedah profesional.

Menurut laman sesawangnya, RSC Edinburgh ialah kolej pembedahan tertua di dunia dan ditubuhkan dengan Piagam Diraja pada 1505.

Kelayakan FRCS lain termasuk FRCS Eng, FRCS Glasg, dan FRCSI masing-masing dari Kolej Diraja Pembedahan England, Kolej Pembedahan Diraja Glasgow, dan Kolej Pembedahan Diraja Ireland.

Adakah semua program parallel pathway terkesan?

Menurut MMC, mereka tidak menolak program parallel pathway dan tidak akan menghalang peluang sebegitu.

"Keinginan MMC adalah memastikan program parallel pathway yang dijalankan di negara ini memenuhi keperluan undang-undang dan perundangan yang berkaitan.

"Sebenarnya, terdapat beberapa program parallel pathway yang diiktiraf oleh MMC, manakala bagi kes yang masih belum diiktiraf, badan-badan yang berkaitan telah dimaklumkan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi memenuhi keperluan undang-undang yang berkaitan untuk akreditasi dan pengiktirafan," kata Radzi.

Apakah tindakan kerajaan dalam isu ini?
KKM telah menubuhkan satu pasukan petugas untuk mengkaji isu tersebut.

Mereka juga membincangkan perkara berkenaan dengan Kementerian Pengajian Tinggi, MMC, dan Agensi Kelayakan Malaysia untuk mencari penyelesaian bersama bagi memastikan graduan dari program parallel pathway memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Dzulkefly Ahmad

Kementerian Pengajian Tinggi berpendapat pelajar-pelajar dan graduan terbabit tidak sepatutnya menjadi mangsa sebarang isu teknikal yang boleh diselesaikan.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad pula menyatakan KKM mencadangkan Akta Perubatan dipinda bagi menyokong para pelatih program berkenaan dapat didaftarkan sebagai pakar. Ia bergantung kepada persetujuan kabinet dan pembentangan di parlimen pada Jun ini.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.

Siapakah yang membantah pindaan itu dan mengapa?
Mereka - termasuk dalam kalangan bidang perubatan - membantah cadangan meminda undang-undang bagi memudahkan pegawai perubatan mendapatkan latihan melalui program parallel pathway.

Antara mereka ialah pakar bedah kanak-kanak Dr Dayang Anita Abdul Aziz yang berpendapat program tersebut tidak setaraf dengan latihan yang disediakan di universiti tempatan.

"Pada akhirnya, adakah kita benar-benar menghasilkan pakar yang selamat? Kita mengubah undang-undang untuk membenarkan mereka masuk," katanya dalam satu temu bual dengan CodeBlue.

Salah satu kebimbangan, katanya, adalah latihan tersebut dijalankan oleh "persatuan yang tidak didaftar secara sah sebagai penyedia pendidikan tinggi, tetapi dijalankan melalui memorandum persefahaman dengan kolej-kolej antarabangsa."

Oleh itu, dakwanya, mereka tidak setaraf dengan lepasan kursus pascaijazah tempatan yang diiktiraf.

Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Perundingan Melayu, Ibrahim Abu Shah, juga mendakwa program tersebut sebagai "haram" dan tidak perlu diiktiraf.

Bekas naib Canselor UiTM itu turut mendakwa kelayakan FRCS Ed "tidak diiktiraf oleh universiti mereka sendiri," namun tidak dapat dipastikan universiti mana yang dirujuknya.

Utusan Malaysia melaporkan, dia mendakwa KKM "dikelirukan" tentang FRCS Ed atau tidak mempunyai semua fakta yang diperlukan sehingga mereka mencadangkan pindaan undang-undang dibuat.

Ibrahim mendakwa bahawa Singapura dan Australia tidak mengamalkan program parallel pathway namun perlu diingat, kenyataan dia itu tidak sepenuhnya benar.

Hakikatnya Australia membuka jalan buat pakar perubatan yang mempunyai kelayakan dari luar negara jika mereka ingin bekerja di negara ini. Ia dilakukan dengan pihak berkuasa menggariskan cara bagi pakar terbabit untuk dinilai sebelum didaftarkan untuk mempraktikkan kemahiran masing-masing di negara itu.

Begitu juga dengan Singapura. Republik tersebut mengiktiraf lepasan program parallel pathway.

Siapakah yang menyokong program parallel pathway?
Antara profesional perubatan yang bersuara menyokong usaha tersebut ialah pakar nefrologi di KKM, Dr Rafidah Abdullah, yang menegaskan bahawa semua latihan kepakarnya dijalankan di luar negara.

Empat pakar senior di negara ini - Dr Musa Nordin, Dr Zulkifli Ismail, Dr Erwin J Khoo dan Dr Timothy Cheng - dalam kenyataan bersama menyatakan bahawa, walaupun pelbagai program ijazah pascasiswazah dilaksanakan, "pada kadar pengeluaran semasa, hanya 19 peratus daripada jumlah doktor dalam sektor awam adalah pakar berbanding sasaran 30 peratus."

Pakar-pakar itu berkata kurikulum perubatan pascasiswazah kebangsaan yang dilancarkan pada 2021 boleh digunakan untuk menyediakan struktur seragam bagi latihan pakar melalui ijazah pascasiswazah atau latihan ijazah lanjutan kepakaran.

Mereka juga menekankan bahawa masalah dengan latihan ijazah lanjutan kepakaran untuk pakar bedah timbul kerana beberapa program berkenaan dikendalikan dengan kurang baik oleh MMC. Dakwa mereka masalah itu tidak berlaku dalam bidang lain.

Sebagai contoh, mereka memberitahu Royal College of Paediatrics and Child Health di UK memformalitikan penilaian berdasarkan kerja pada 2005. Bagaimanapun, kata mereka, Malaysia hanya mengikuti langkah tersebut lima tahun kemudian dalam latihan lanjutan kepakaran pediatrik.

"Hampir semua program lain menyelaraskan latihan, penempatan, penilaian berdasarkan kerja, dan kriteria kelulusan sejak 2014," kata mereka.

MATCVS pula mendakwa MMC membuat keputusan kritikal tidak mengiktiraf program ijazah lanjutan kepakaran bagi latihan bedah kardiotoraks "tanpa kehadiran seorang pun ahli bedah kardiotoraks" semasa perbincangan tersebut dibuat.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng menyokong pendirian MATCVS dengan mengatakan bahawa kredibiliti Royal College of Surgeons of Edinburgh "tidak dipertikaikan" dalam bidang perubatan.

"Graduan program parallel pathway kini berkhidmat di pelbagai hospital terbaik di dunia, tetapi mereka menghadapi risiko untuk dinafikan hak dan tidak layak untuk berkhidmat di hospital tempatan kita.

"Apa yang akan berlaku kepada semua pesakit di hospital kerajaan yang menanti pembedahan untuk menyelamatkan nyawa?

"Jangan kita korbankan kecemerlangan dan meritokrasi untuk birokrasi yang tidak berperikemanusiaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!