Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | PAS pertikai perlembagaan di KKB?

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

SURAT | Bahang PRK Kuala Kubu Bharu dihangatkan dengan isu latar belakang pendidikan calon yang bertanding yang kemudian membawa Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mencabar calon kerajaan perpaduan menunjukkan kelulusan pendidikan rendah dan menengahnya.

Ternyata Pang Sock Tao yang mewakili kerajaan perpaduan bukan saja berani menyahut cabaran tersebut malah membuktikan dia pelajar cemerlang melalui Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun isu tersebut cuba diselewengkan oleh Ahmad Fadhli dengan menyatakan bahawa perbuatan Pang secara tidak langsung mendedahkan calon tersebut mendapat pendidikan di sekolah vernakular.

Kenyataan yang dikeluarkan itu seolah-oleh mempersoalkan kedudukan sekolah vernakular yang telah diperakui keabsahannya oleh Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Dis 2021 memutuskan bahawa penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Malah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengesahkan bahawa sekolah vernakular di negara ini mengikuti silibus pembelajaran yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bezanya hanyalah sekolah tersebut menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar.

Perbuatan Ketua Penerangan PAS Pusat mempersoalkan latar belakang pendidikan Pang itu sebenarnya bukan sahaja meremehkan rakyat Malaysia yang mendapat pendidikan awal melalui platform tersebut bahkan meremehkan keputusan mahkamah Malaysia.

Menteri Perpaduan, Aaron Ago Dagang juga mengesahkan bahawa sekolah vernakular kini menjadi medium penyatuan antara kaum.

Penegasan itu dibuat berdasarkan statistik yang menunjukkan bahawa 60 peratus daripada pelajar sekolah vernakular Cina di Sarawak terdiri daripada golongan bumiputera.

Malah laporan pada 2020 menunjukkan lebih ramai pelajar Melayu memasuki sekolah vernakular Cina apabila berlaku peningkatan daripada 9.15 peratus kepada 15.33 peratus.

Seharusnya pengundi di Kuala Kubu Bharu bermuhasabah dengan menilai mentaliti pemimpin parti politik pembangkang yang bukan sahaja mempersoalkan kedudukan sekolah vernakular malah mempersoalkan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan cemerlang yang diperolehi oleh Pang diperakui oleh KPM.

Peperiksaan yang dilalui oleh Pang adalah sama dengan peperiksaan semua rakyat Malaysia yang menduduki UPSR dan SPM.

Seharusnya keputusan cemerlang tersebut menjadi asas perbahasan untuk memilih pemimpin yang layak mewakili rakyat Kuala Kubu Bharu.

Jika pemimpin yang mewakili rakyat kawasan itu mendapat keputusan pada standard ‘D’, adakah dia layak memimpin rakyat di bawahnya?


MOHD FAUZI FADZIL ialah Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PKR Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.