Skip to main
Logo Malaysiakini

DFC mohon maaf, nafi bersikap rasis

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Darsa Mohammed Faiz Zuhdi menegaskan bahawa restoran mereka tidak bersikap rasis atau perkauman seperti yang didakwa orang ramai.

Katanya, pihaknya tidak bersetuju dengan penggunaan sentimen agama, kaum dan politik demi menarik pelanggan dalam sesebuah perniagaan.

"Kami tak rasis. Kami juga ingin menegaskan bahawa DFC menolak sebarang tuduhan yang mengaitkan (restoran) kami dengan isu perkauman atau keagamaan.

"Kami bersetuju bahawa kita tak perlu main sentimen agama, kaum atau politik dan komitmen kami adalah menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi selaras dengan semangat perpaduan serta saling hormat-menghormati yang merupakan asas konsep Malaysia Madani.

"Justeru, sekali lagi pihak kami memohon jutaan maaf dan berterima kasih atas sambutan yang luar biasa ini," katanya pada sidang media di Restoran DFC Rawang, hari ini.

Tambahnya, pihak DFC mengakui kontroversi yang berlaku adalah berpunca daripada kekhilafan pekerja dan pengurusan syarikat yang terlepas pandang isu berkenaan.

Pada 7 Mei lalu, DFC telah membuat permohonan maaf berhubung komen di laman rasminya yang didakwa pengguna media sosial berbaur perkauman.

Ini selepas restoran yang disebut-sebut sebagai alternatif kepada KFC itu mendapat kecaman orang ramai ekoran maklum balas pelanggan mengenai harga makanan yang mahal.

Namun, pekerja restoran yang bertindak sebagai pengendali laman Facebook mereka membalas komen dengan mengingatkan seorang pelanggan agar tidak "ditipu oleh sentimen buruk yang dimainkan oleh type C", yang pengguna media sosial percaya merujuk kepada orang Cina di Malaysia.

Respons itu juga menyebabkan Adun Rawang Chua Wei Keat, yang bercadang untuk merasai ayam goreng di restoran itu tertanya-tanya mengenainya.

Dalam catatan Facebooknya, ahli politik PKR itu berkata dia bercadang untuk mengunjungi restoran itu kerana ia terletak berhampiran Rawang dan bagi memberi sokongan kepada usahawan tempatan.

"Baru fikir nak cari masa untuk pergi cuba kedai ayam goreng lokal kerana lokasi berhampiran Rawang dan semangat nak support lokal. Tetapi.. sekarang muncul pula soal 'type C'. Apa maksud 'type C'?" soalnya

Seorang pengguna Facebook menjawab apabila sesuatu perniagaan mengguna pakai sentimen perkauman, ia tidak akan bertahan lama bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

Tidak kurang juga di antara mereka mahu memboikot restoran berkenaan dan menyindir bahawa 'type C' yang dimaksudkan merujuk kepada kabel USB.

Ambil pekerja Islam saja

Bagaimanapun, kata Mohammed Faiz, di sebalik kontroversi yang berlaku DFC akan mengekalkan imej Islamik dan Bumiputera pada konsep pemasaran mereka.

Tambahnya, imej Bumiputera tidak bermaksud syarikat itu hanya menumpukan kepada pelanggan berbangsa Melayu tetapi juga semua pihak tidak mengira bangsa.

"Buat masa kita akan kekal dengan imej Bumiputera kerana kita nak bangkit sebagai salah satu syarikat yang memperjuangkan ekonomi Bumiputera dan Islam.

"Kita nak lihat agama dan bangsa kita berjaya seperti bangsa lain yang berjaya dalam perniagaan" tambahnya.

Namun, katanya lagi, polisi restoran DFC buat masa ini hanya menerima pekerja yang beragama Islam sahaja untuk menjadi kebersihan dan kesucian pengendalian makanan mereka.

"Kita bukan tidak menerima bangsa lain tetapi kita memegang konsep halalan toyyiban. Jadi semestinya bila mengendalikan makanan ini bukan sekadar faktor kebersihan tetapi memerlukan kepada kesucian.

"Jadi, buat masa ini kita hanya buka peluang pekerjaan untuk semua bangsa yang beragama Islam," ujarnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!