Skip to main
Logo Malaysiakini

PSM terkejut Zuraida dakwa Guan Eng tolak peruntukan 5 estet

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan
  • Dikemaskini dengan kenyataan Tony Pua, bekas setiausaha politik Lim Guan Eng ketika menjadi menteri kewangan.

PRK KKB | Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan terkejut dengan dakwaan mantan menteri perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin bahawa Lim Guan Eng menolak permintaan peruntukan pembinaan perumahan lima estet di Kuala Kubu Bharu ketika kerajaan PH pada 2018.

“PSM terkejut dan meminta penjelasan daripada Guan Eng yang merupakan bekas menteri kewangan,“ katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri KPKT Nga Kor Ming mengumumkan pembinaan perumahan kepada 245 peneroka dari Ladang Nigel Gardner, Ladang Bukit Tagar, Ladang Mary, Ladang Minyak dan Ladang Sungai Tinggi.

Projek itu adalah kerjasama KPKT dan Kerajaan Negeri Selangor.

Berjaya Corporation Bhd memberi tanah 20 ekar secara percuma untuk pembinaan.

Terdahulu, portal Malaysinow memetik Zuraida berkata projek perumahan itu tidak dapat diteruskan sebelum ini kerana ditolak oleh Guan Eng sebanyak dua kali sebelum ini.

“Dalam pengetahuan kami, kami tahu pada awalnya ada sedikit pertelingkahan antara KPKT dengan Berjaya Corporation dalam isu tender tetapi selepas itu isu ini selesai.

“Kami hanya mengetahui bahawa peruntukan tidak ada kerana Covid-19 tetapi kebanyakan tempoh Covid berlaku pada zaman Muhyuddin Yassin menjadi perdana menteri dimana Guan Eng bukan menteri ketika itu’” dakwa bekas ahli parlimen Ampang itu

Sementara itu, Arutchelvan berkata PSM juga menulis surat pada tahun 2022 kepada tiga menteri untuk diperuntukan Bajet untuk projek perumahan ini iaitu menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed, menteri kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Reezal Merican (KPKT).

“Kami menuntut Guan Eng untuk memberi satu penjelasan tentang dakwaan ini atau menyaman Zuraida andaikata ini adalah dakwaan palsu.

“Kami juga sedar bahawa semua keputusan kabinet memang mempunyai minit mesyuarat dan kami berharap kebenaran isu ini boleh didedahkan untuk pengetahuan umum,” katanya.

‘Saya tak pernah lihat permohonan’

Sementara itu, bekas ahli parlimen Damansara Tony Pua menafikan dakwaan Zuraida dan menuduhnya "mereka-reka satu lagi cerita dongeng".

"Sekarang dia dakwa Lim dua kali menafikan permohonan kementeriannya ketika itu untuk membina perumahan pekerja asing di Bestari Jaya.

"sebagai bekas setiausaha politik Guan Eng, saya boleh katakana yang saya tak pernah dengar atau lihat permohonan itu, apatah lagi untuk Lim sendiri menolaknya dua kali," katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.

Pua turut membangkitkan dakwaan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebelum ini bahawa Lim ketika menjadi menteri kewangan membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary.

"Satu lagi kisah fiksyen yang kini menjadi topik saman fitnah yang difailkan Lim di mahkamah.

"Saya terkejut Zuraida masih lagi ada selepas kalah besar di Ampang (pada PRU15). Dia patut pergi menyorok di tempat yang orang tak boleh jumpa," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!