Skip to main
Logo Malaysiakini

LANGSUNG | Rasmi: PH menang di KKB

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

PRK KKB | Pasukan Malaysiakini menutup tirai liputan PRK Kuala Kubu Bharu.

Terima kasih buat pembaca Malaysiakini yang mengikuti laporan langsung ini.

Jika anda sukakan berita kami, sokonglah media bebas dengan melanggan Malaysiakini. Klik di sini untuk maklumat lanjut.


Rasmi: PH pertahan DUN Kuala Kubu Bharu - SPR

9.49pm: Calon PH Pang Sock Tao menang pilihan raya DUN Kuala Kubu Bharu, meraih 14,000 undi dengan majoriti 3,869 undi.

Pengawai pengurus pilihan raya SPR Yuhanas Auree Kamaruddin mengumumkan kemenangan Pang di pusat penjumlahan undi di Kuala Kubu Bharu malam ini.

Sementara itu calon PN Khairul Azhari Saut memperolehi 10,131 undi, Hafizah Zainudin (PRM) 152 undi dan Nyau Ke Xin (bebas) 188 undi.

Kedua-dua calon bebas dan PRM yang disebut-sebut sebagai pilihan alternatif itu hilang wang deposit.


9.30pm: Bandar Baru Batang Kali - Pengerusi PN Selangor Azmin Ali mendakwa PN hanya kehilangan 628 undi pada pilihan raya kecil hari ini, berbanding pilihan raya umum lalu.

Dia berkata PN mengekalkan prestasinya walaupun berhadapan dengan jentera kerajaan persekutuan dan negeri Selangor.

"Tahap sokongan kita tidak terjejas. Undi hanya berkurangan sebanyak 628, dan faktor penyumbang ialah peratusan keluar mengundi yang jauh lebih rendah kepada 61 peratus," katanya sebagai respons kepada keputusan tidak rasmi yang mengisytiharkan kemenangan untuk PH.


Anwar ucap tahniah atas kemenangan di KKB

9.00pm: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada PH dan Kerajaan Perpaduan atas kemenangan calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu.

“Saudara Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP), tahniah atas kemenangan di Kuala Kubu Bharu… lawan sampai menang…

"Sekarang kita kena pertahankan kemenangan itu,” kata Anwar yang juga presiden PKR ketika berucap pada majlis Sambutan 25 Tahun parti itu di Depot Sentul di Kuala Lumpur malam ini.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, calon PH Pang Sock Tao berjaya mempertahankan kerusi itu dalam persaingan empat penjuru.


Rakyat tolak kempen PN isu 3R - Saifuddin

8.17pm: Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata keputusan undi awal yang memihak kepada PH menunjukkan tumpuan kerajaan membela kebajikan anggota keselamatan semakin jelas difahami dan diterima.

Katanya, ia juga menunjukkan kempen PN melalui isu raja, kaum dan agama (3R) ditolak rakyat.

“Kempen PH-BN dan kerajaan perpaduan ialah penyelesaian kepada masalah rakyat.

“Kempen PN pula tiada isi dan terus dengan taktik usang 3R,” katanya yang juga menteri dalam negeri kepada Malaysiakini.


Perpaduan sambut tiga peristiwa - Fahmi

8.15pm: Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil membayangkan calon PH akan memenangi pilihan raya kecil itu, sekali gus menggambarkan malam ini sambutan tiga peristiwa untuk kerajaan perpaduan.

Fahmi berkata sambutan itu termasuk ulang tahun ke-25 partinya dan ulang tahun ke-78 Umno.


Tidak rasmi: PH kekalkan kerusi KKB

8.00pm: Malaysiakini menyimpulkan pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu memihak kepada PH berdasarkan keputusan tidak rasmi.

Berdasarkan anggaran, Pang Sock Tao memerlukan lebih kurang 1,500 undi lagi untuk mendapatkan lebih 50 peratus undian

PN mengekori lebih 3,000 undian sehingga berita ini ditulis dan tidak mungkin dapat mengejarnya.

Lebih 75 peratus undi telah dikira.


PH mungkin menang lagi besar - tak rasmi

8.05pm: PH meraih lebih 50 peratus undi mengikut keputusan tidak rasmi.

Terdapat kira-kira 3,500 undi masih perlu dikira, tetapi jumlah semasa menunjukkan PH mungkin menang dengan bahagian undi yang lebih besar kali ini.

Kedua-dua calon alternatif, Hafizah Zainudin dari PRM dan Nyau Ke Xin bebas, berada di landasan untuk kehilangan deposit mereka setelah masing-masing memperoleh kurang satu peratus undi.


7.45pm: Setakat ini bilik gerakan PN di Bandar Baru Batang Kali, Selangor masih sunyi sepi dengan hanya segelintir penyokong berkumpul. Tiada juga tayangan keputusan tidak rasmi.

Kakitangan media tidak dibenarkan masuk ke pusat operasi PN itu.

Sebuah khemah besar didirikan di padang berdekatan, dengan kebanyakan kerusi masih belum diduduki hadirin.


Calon PH menang lagi 3,500 undi - MP

7.40pm: Ampang Pecah, Selangor- Ahli Parlimen Puchong Yeoh Bee Hin berkata calon PH Pang Sock Tao memang PRK Kuala Kubu Bharu jika berjaya mendapat 12,500 undi ke atas.

“Jumlah peratus keluar mengundi adalah 61 peratus. Kalau melepasi 12,550 undi ke atas kita sudah menang.

“Kita nak 3,500 undi sahaja lagi untuk menang,” katanya di Bilik Gerakan Utama PH.

Sehingga kini, keputusan tidak rasmi menunjukkan Pang menerima 9071 undi mendahului Calon PN Khairul Azhari Saut dengan majoriti lebih 3,500 undi.


7.30pm - Lebih 45 peratus undi telah dikira mengikut sumber tidak rasmi.

Angka terbaru menunjukkan PH dalam kedudukan selesa kekal mendahului dengan lebih 2,000 undi berbanding PN.

Garisan penamat hanya tinggal beberapa ribu undi sahaja lagi untuk PH.


7.00pm - Menurut sumber, peratusan keluar mengundi dianggarkan antara 61 hingga 62 peratus.

Dianggarkan juga peratusan keluar mengundi pengundi Cina lebih tinggi berbanding pengundi Melayu manakala lebih 50 peratus pengundi India turut mengundi.

Kuala Kubu Bharu kawasan pilihan raya campuran, dengan pengundi Melayu membentuk 49.3 peratus pengundi, Cina 30.6 peratus, India 17.9 peratus dan lain-lain 2.1 peratus.

Di atas kertas, anggaran peratusan keluar mengundi nampaknya memihak kepada PH, yang mempunyai sokongan lebih kuat di kalangan bukan Melayu manakala asas undi PN dikatakan berteraskan undi Melayu.

Gerakan semalam menganggarkan sokongan PN dalam kalangan pengundi Cina berada di bawah lima peratus.


7.05pm: Dengan kira-kira 15 peratus undi dikira, keputusan tidak rasmi menunjukkan PH mendahului dengan selesa.

Sehingga jam 7 malam, calon PH telah memperoleh lebih 3,000 undi manakala PN ketinggalan dengan hanya hampir 1,200 undi.

Kedua-dua calon lain jauh ketinggalan, walaupun calon bebas kelihatan lebih baik sedikit berbanding calon PRM buat masa ini.


6.50pm: Ampang Pecah, Selangor - Suasana Bilik Gerakan Utama PH menjadi ceria setelah kiraan awal undi menunjukkan calon PH Pang Sock Tao mengatasi calon-calon lain dengan majoriti yang agak selesa.

Para penyokong PH yang mula berkumpul di sini bersorak setiap kali nama PH disebut dalam kiraan undi.

Sehingga 6.50 petang, Pang mendahului dengan lebih 1,300 undi majoriti dikira secara tidak rasmi.


Tak rasmi: PH popular undi awal polis, tentera

6 .00pm: Gabungan Madani nampaknya popular di kalangan pengundi polis di Kuala Kubu Bharu, menurut sumber tidak rasmi.

PH dilaporkan meraih 249 undi awal polis manakala PN memperoleh 47 undi.

Perlumbaan itu dilaporkan lebih sengit dalam undi tentera, dengan PH memperoleh 84 undi dan PN 71.

Secara keseluruhan, 592 pengundi awal dikatakan telah mengundi PH, 156 untuk PN dan masing-masing seorang untuk PRM dan calon bebas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!