Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesanan Lip Eng pada MCA - 'Sikap angkuh bawa padah'

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Tidak dapat melupakan perseteruan lamanya dengan DAP, MCA memutuskan tidak menyertai kempen untuk calon PH Pang Sock Tao dalam PRK Kuala Kubu Bharu.

Bagaimanapun, keputusan semalam menunjukkan langkah itu tidak memberi apa-apa kesan, sekurang-kurangnya pada pandangan ahli parlimen DAP Lim Lip Eng.

"Pride came before the fall (Sikap angkuh dan terlalu yakin membawa kegagalan)," kata ahli parlimen Kepong itu kepada Malaysiakini apabila ditanya jika dia ada pesanan untuk MCA.

"Kita sepatutnya bekerjasama untuk kebaikan negara, terutama masyarakat Cina, namun anda memilih untuk mengutamakan kepentingan sendiri berbanding rakyat," katanya lagi.

Menjawab satu lagi soalan, Lim setuju bahawa PRK ini adalah satu lagi peringatan kepada MCA - dahulunya parti komponen BN yang cukup kuat - yang parti itu tidak lagi relevan.

"PRK Kuala Kubu Bharu membuktikannya," katanya.

Pang Sock Tao

Tidak lama selepas Pang diumumkan mengekalkan kerusi itu untuk DAP bagi penggal keempat, Lim dipetik media bahasa Cina sebagai berkata bahawa "baguslah" MCA tidak membantu kempen.

Sejak PRU 2008, MCA dan juga sebuah lagi komponen BN, MIC menyaksikan kemerosotan dalam politik. "Abang besar" mereka, Umno turut menerima nasib serupa.

Namun, MIC dan Umno memilih untuk membantu kempen Pang demi memenangi sokongan pengundi Melayu dan India.

Pada 19 April, MCA mengumumkan mereka idak akan menyertai kempen jika calon bukan daripada BN.

Beberapa hari kemudian, presidennya Wee Ka Siong mengimbas Kembali tindakan DAP yang "mengecam dan memaki hamun" MCA sebelum ini.

"Takkan nak minta MCA membalas budi DAP atas 'jasa' mereka mencaci parti saya?" soalnya.

Apabila ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam menggesa MCA untuk membuat keputusan berkenaan kedudukannya dalam kerajaan, Ketua Pemuda MCA Ling Tian Soon membalasnya dengan berkongsi video lama menunjukkan calon DAP itu mengkritik BN.

Setiausaha Agung Pemuda MCA Saw Yee Fung pula menggesa pengundi Cina untuk tidak memilih "roket" - merujuk kepada lambang DAP.

Selepas perseteruan yang cukup lama, MCA dan DAP mendapati mereka kini di pihak yang sama selepas PH dan BN menubuhkan kerajaan bagi memecahkan kebuntuan keputusan PRU15.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!