Skip to main
Logo Malaysiakini

Tahap sokongan PH, PN kekal di KKB kecuali pengundi polis, tentera

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pengundian di Kuala Kubu Bharu semalam menunjukkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kekal pada status quo di kerusi itu.

Satu pengecualian yang ketara, adalah pengundi polis dan tentera.

Di atas kertas, prestasi PH di Kuala Kubu Bharu meningkat sedikit pada PRK kali ini berbanding tahun lepas.

Gabungan itu memperoleh 57.2 peratus undi, berbanding 54.4 peratus sebelum ini.

Sementara itu, bahagian undi PN juga kelihatan meningkat daripada 39.3 peratus kepada 41.4 peratus.

Bagaimanapun, dua calon lain memperoleh keputusan yang lebih teruk, berbanding Muda dan PRM pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023. Muda dan PRM ketika itu masing-masing memperoleh 4.3 peratus dan 1.9 peratus undi.

Bagaimanapun, dalam pengundian semalam PRM hanya memperoleh 0.6 peratus undi, manakala calon bebas Nyau Ke Xin mendapat 0.8 peratus undi.

Sekiranya dua calon alternatif pada 2023 dan PRK semalam dikeluarkan daripada pengiraan, ia menunjukkan sokongan untuk PH dan PN tidak berubah, masing-masing pada 58 peratus dan 42 peratus.

Bagaimanapun, keputusannya nyata berbeza di kalangan pengundi beruniform.

Pada 2023, pengundi polis memberikan 388 undi untuk PN (76.5 peratus) dan hanya 119 untuk PH (23.47 peratus).

Ia berubah sepenuhnya semalam, dengan 249 mengundi untuk PH (84.1 peratus) dan 47 untuk PN (15.8 peratus).

Sementara itu, terdapat juga peralihan dalam sokongan tentera kepada PH daripada hanya 27 undi (16 peratus) pada 2023 kepada 84 undi (54.2 peratus).

Sokongan tentera kepada PN menurun daripada 142 undi (84 peratus) pada 2023 kepada 71 undi (45.8 peratus)

Bercakap kepada Malaysiakini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata peralihan undi kumpulan itu adalah hasil usaha kerajaan untuk menjaga kesejahteraan pasukan keselamatan.

Ia juga susulan ikrar kerajaan untuk menaikkan gaji kakitangan awam lebih daripada 13 peratus tahun ini.

Adakah PH mendapat sokongan Melayu?

Sementara itu, maklumat awal daripada sumber menunjukkan peratusan keluar mengundi Melayu mungkin menurun kira-kira lapan peratus kepada sekitar 59 peratus.

Bagaimanapun, di sebalik penurunan ini, tiada perubahan ketara dalam sokongan keseluruhan untuk PN, menunjukkan bahawa pembangkang kebanyakannya mengekalkan penyokong teras mereka.

Ini juga menunjukkan bahawa PH tidak membuat sebarang peningkatan ketara dalam kalangan pengundi Melayu.

Satu kemungkinan ialah sokongan orang Melayu terhadap PH mungkin merosot sedikit, tetapi perbezaan itu diimbangi oleh peningkatan sokongan daripada pengundi bukan Melayu dan beruniform yang mengundi PN atau calon alternatif sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!