Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin pemimpin tiada galang ganti, kata Ahmad Faizal

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Tidak pernah terlintas sama sekali di fikiran pemimpin atasan Bersatu untuk meminta presiden mereka, Muhyiddin Yassin, mengundurkan diri, kata Ahmad Faizal Azumu.

Tambah timbalan presiden Bersatu itu lagi, ia semakin kukuh apabila mereka menganggap tidak ada galang ganti buat sosok seperti Muhyiddin.

Ketika ini, kata Ahmad Faizal, Bersatu masih memerlukan kepemimpinan Muhyiddin sama ada untuk parti itu ataupun PN sebagai sebuah gabungan pembangkang utama.

"Pandangan Zaid Ibrahim (agar Muhyiddin berundur) itu saya anggap pandangan (bebas) masing-masing, tetapi saya yang berada dalam kepimpinan PN, kami melihat Tan Sri Muhyiddin ini masih lagi diperlukan dan kepimpinan dia masih lagi tak ada galang gantinya dalam PN.

“Jadi, terima kasihlah (atas nasihat yang diberikan), tapi kami tak terlintas pun di fikiran untuk membincangkan perkara itu pun.

"We are doing alright (kami baik-baik saja),” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Bekas Menteri Besar Perak itu berkata demikian selepas diminta mengulas pandangan Zaid - yang juga bekas menteri undang-undang - agar dua pemimpin utama PN mengundurkan diri.

Muhyiddin Yassin

Dua individu yang disebut Zaid ialah Muhyiddin dan Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi merupakan presiden PAS dan timbalan pengerusi PN.

Kenyataan Zaid itu hadir dua hari selepas PN gagal merampas kerusi DUN Kuala Kubu Bharu dalam pilihan raya kecil (PRN) yang diadakan pada Sabtu lalu.

Semalam, Zaid dilapor menasihatkan Muhyiddin dan Abdul Hadi agar memberi laluan kepada pemimpin muda dengan idea baru mengemudi PN bagi menghadapi politik semasa.

Katanya, PH mencatat kemenang besar kerana PN tiada apa-apa yang boleh ditawarkan kepada pengundi lagi.

Kukuh dari semasa ke semasa

Sebagai contoh, kata Zaid, Muhyiddin cuma kerap bercakap tentang pencapaiannya ketika menjadi perdana menteri, manakala taktik menakut-nakutkan orang Melayu kepada DAP oleh Abdul Hadi tidak lagi terpakai.

PRK Kuala Kubu Bharu dimenangi calon PH, Pang Sock Tao, yang menewaskan tiga pencabar lain termasuk yang utama dari PN, Khairul Azhari Saut dengan perbezaan 3,869 undi.

Khairul Azhari yang juga pemangku ketua Bersatu Hulu Selangor memperoleh 10,131 undi, Nyau Ke Xin sebagai calon bebas (188 undi) dan Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (152 undi).

Kata Ahmad Faizal, Bersatu menghargai apa yang dinyatakan Zaid dan ia mungkin menunjukkan ahli politik terbabit menyokong parti berkenaan.

“Kami ucapkan terima kasih dan saya pasti pemimpin besar macam Muhyiddin tahu bila masa nak sesuai berundur dan semuanya dibuat atas pertimbangan parti, bukan peribadi.

“Kami juga yakin dengan sokongan penyokong tegar kami yang akan mengukuhkan Bersatu dan PN dari semasa ke semasa untuk menghadapi sebarang pilihan raya," katanya.

Sementara itu, pandangan Ahmad Faizal tidak dipersetujui seorang pemerhati politik tempatan.

Felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Azmi Hassan berpendapat memang wajar salah seorang pemimpin kanan PN itu memberikan kemudi kepada orang lain.

Kata Azmi, ketika ini ahli akar umbi Bersatu sendiri mempunyai pandangan berbeza dengan Muhyiddin, namun keadaan tidak begitu pada PAS.

“Sebab itu saya berpendapat Abdul Hadi tak perlu meletakkan jawatan kerana PAS tidak ada masalah sekarang, sama ada masalah dalaman atau luaran, malah kita nampak PAS dalam keadaan kuat.

"Kita juga lihat (kepada kepimpinan) yang lepas-lepas, pemimpinnya akan berundur apabila ada masalah kesihatan hingga tidak dapat langsung menjadi pemimpin nombor satu parti itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Prestasi PN tetap memuaskan

Namun, Azmi berkata ia berbeza dengan Bersatu dimana parti itu memerlukan pemimpin yang mempunyai visi dan misi.

“Akar umbi Bersatu mahukan hal itu (pemimpin yang mempunyai visi dan misi), lebih-lebih lagi apabila enam ahli parlimen dan seorang Adun Selangor kini menyokong kerajaan perpaduan.

"Ini sedikit sebanyak memperlihatkan masalah kepimpinan (parti).

“Maka kalau nak dibandingkan PAS, Bersatu lebih memerlukan nafas baru dan keperluan itu membuatkan Muhyiddin harus meletakkan jawatan," katanya.

Tambahan pula, kata Azmi, sebelum ini Muhyiddin sendiri mengumumkan pendiriannya enggan bertanding lagi untuk jawatan presiden sebelum dia membuat pusingan U kemudian.

Kata Azmi pada masa sama Bersatu juga sepatutnya tidak menghadapi masalah jika Muhyiddin berundur kerana parti terbabit mempunyai pemimpin pelapis yang sesuai mengisi tempat yang ditinggalkan itu.

"Ahmad Faizal umpamanya, atau Hamzah Zainudin, Radzi Jidin, malah Azmin Ali mampu membawa nafas baru buat Bersatu khususnya ketika mereka kalah di Kuala Kubu Bharu," katanya.

Menurut Azmi pengunduran Muhyiddin kelak juga akan memberi kesan positif kepada PN termasuk membawa idea, taktik dan pendekatan yang lebih baru.

Azmi Hassan

Menyangkal dakwaan Azmi, Ahmad Faizal berkata, Muhyiddin tidak ada masalah untuk membawa nafas baru dalam PN malah mungkin bukan suatu isu.

Hal itu kerana, kata Ahmad Faizal, pencapaian PN sama ada dalam pilihan raya umum, pilihan raya negeri (PRN) atau PRK Kuala Kubu Bharu tidaklah buruk.

“Berbeza dengan kalau dulu kita lihat kepimpinan Umno apabila Najib Razak terpaksa letak jawatan apabila dia kalah dan kerajaan jatuh pada 2018.

“Kami lakukan perkara yang sangat baik dalam PRU, dalam PRN dan dalam PRK terbaru lalu... kami masih ada sokongan,” jelasnya.

Ahmad Faizal menegaskan pengunduran Muhyiddin ketika ini hanya akan menggugat kesatuan dalam kalangan parti kompenan PN.

“PN ini bergerak sebagai satu pasukan yang utuh, dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin. Beliau adalah faktor kepada kebersamaan kami, kesatuan kami.

“Jadi, kalau kita ambil keputusan minta dia berundurkan, ini akan menggugat kesatuan yang kami ada. Sekarang ini, kekuatan kita PN banyak datang daripada dia (Muhyiddin),” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai potensi Abdul Hadi atau pemimpin PAS mengambil alih teraju menentukan langkah PN, Azmi berkata, memang seharunya cadangan itu diberi perhatian serius.

Namun Azmi membayangkan langkah tersebut tidaklah mudah.

Katanya sebagai pemimpin PAS Abdul Hadi memang tidak ada sebarang masalah kerana ia sesuai dengan pembawaan parti tersebut sejak dulu lagi.

"Tapi bagi PN, kepemimpinan Abdul Hadi akan menyukarkan gabungan tersebut meningkat lebih tinggi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!