KPDN rampas 153 cermin depan kenderaan disyaki tiruan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 153 cermin hadapan kenderaan disyaki tiruan menerusi serbuan ke atas empat premis di Petaling Jaya dan Kepong pada 9 Mei lepas.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam dalam kenyataan hari ini berkata serbuan dilakukan hasil aduan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar serta risikan awal pihak KPDN.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit (tiga di Petaling Jaya, satu di Kepong) telah menemukan 153 keping cermin hadapan kenderaan disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815),” katanya.
Menurut Azman, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM140,200 manakala kesemua cermin hadapan kenderaan itu bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan.
Susulan itu, KPDN menahan dua lelaki warga tempatan masing-masing berumur 20 dan 31 tahun yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta 815.
Azman memberi peringatan dan amaran kepada pihak berkaitan agar tidak melakukan aktiviti menjual barangan, khususnya alat ganti kenderaan, yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah kerana boleh mengancam keselamatan pengguna.
Orang ramai turut diingatkan agar tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan sedemikian, katanya.
- Bernama
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai