Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga kali Azmin kalah kepada Amirudin, kata Adun Bersatu

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu secara signifikan lebih kepada pertembungan antara Pengerusi Bersatu Selangor, Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Bekas pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari, berkata keputusan PRK itu menyaksikan Azmin tewas buat kali ketiga di tangan Amirudin.

Menurutnya kekalahan pertama Azmin kepada Amirudin ialah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), diikuti pilihan raya negeri dan PRK Kuala Kubu Bharu.

"PRK Kuala Kubu Bharu sebenarnya pertembungan Azmin dengan Amirudin.

"Jadi, sekarang jelas Amirudin menang tiga kali dia mengalahkan si Azmin," kata Adun Selat Klang itu dalam wawancara bersama Malaysiakini.

PH berjaya mempertahankan DUN) Kuala Kubu Baharu Sabtu lalu selepas calonnya Pang Sock Tao hari ini menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 3,869 undi.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memperoleh 14,000 undi, menewaskan pencabarnya dari PN, Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi; calon Bebas, Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin (152 undi).

Kontroversi calon PN

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, faktor calon merupakan penyumbang utama yang menyebabkan Bersatu kalah pada PRK berkenaan.

Katanya, kontroversi yang menyelubungi calon berhubung isu pendidikan selain kempen ekstrim PAS turut menyumbang kepada kekalahan PN.

"Faktor calon daripada awal calon PN dah ada kontroversi tentang keputusan pendidikan dan sebagainya...saya juga terkejut (dia ada master) dia dulu dengan saya lama sejak awal penubuhan Bersatu (Selangor).

"Sepanjang masa saya tak tahu dia ada master...saya tahu dia ada diploma, tapi saya tak tahu dia ada master, mesti orang tanya mana ijazah," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!