Skip to main
Logo Malaysiakini

Orang ramai lebih hati-hati guna akaun 3 KWSP

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Orang ramai dilihat mengambil sikap lebih berhati-hati dalam memanfaatkan Akaun Fleksibel atau Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) yang telah dibuka semenjak 11 Mei.

Tinjauan Malaysiakini di sekitar Kuala Lumpur mendapati rata-rata mereka tiada perancangan untuk mengeluarkan wang daripada Akaun 3 itu melainkan dalam keadaan tertentu, agar simpanan mereka terjamin di waktu persaraan.

Pekerja swasta Nabil, 39, berkata dia hanya akan mengeluarkan wang dari akaun tersebut sekiranya ada keperluan mendesak.

“Buat masa ini, tiada perkara yang mustahak buat saya untuk mengeluarkan KWSP dari Akaun 3 ini, kerana kedudukan kewangan saya masih stabil," katanya.

Penasihat Takaful, Faizal Johari, 30 pula berkata kesan baik dan buruk daripada inisiatif penstrukturan semula akaun KWSP itu bergantung kepada individu.

“Akaun 3 ini memberikan pilihan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Kerajaan memberikan pilihan kepada kita sama ada ingin memindahkan wang ke Akaun 3 atau tidak sehingga Ogos ini.

“Jadi, bagi saya jangan salah gunakan akaun ini kerana wang ini cukup penting kalau kita sudah bersara,” katanya.

KWSP melakukan penstrukturan semula dengan memperkenalkan Akaun 3 yang membenarkan pencarum mengeluarkan wang caruman mereka pada bila-bila masa pada 11 Mei lepas di mana 10 peratus dari akaun ahli KWSP akan ditolak ke dalam akaun ini. Baki 75 peratus dan 15 peratus akan ditolak ke Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera.

Pencarum boleh mengeluarkan wang bila-bila masa melalui Akaun 3 dengan minimum sebanyak RM50. Manakala pengeluaran melebihi RM250 perlu melalui proses e-KYC iaitu proses pengesahan identiti secara atas talian melalui sistem pengecaman wajah di aplikasi KWSP i-Akaun.

Mereka juga boleh memindahkan 10 peratus daripada simpanan Akaun 2 ke Akaun 3 sehingga 31 Ogos ini.

Seorang pekerja pemasaran, Chong, 28, menyatakan kebimbangannya apabila simpanan dari KWSP boleh disalahgunakan.

“Saya secara pribadi tidak bersetuju akan polisi ini kerana bimbang akan simpanan di hari persaraan. Namun saya faham ada yang memerlukan jadi saya tidak menentang sesiapa yang ingin mengeluarkan wang itu,” katanya.

Sementara itu, Muzammil, 24 dan Khairul, 27 yang masing-masing bekerja sebagai akauntan juga menyatakan kebimbangan mengenai wang persaraan akan berkurang jika akaun 3 digunakan.

“Kalau kita lihat data pada tahun tahun lepas 48 peratus rakyat ada simpanan kurang RM10,000. Jadi kalau nak pindah simpanan ke Akaun 3 akan mengurangkan simpanan mereka,” kata Muazammil.

Namun mereka melihat inisiatif ini boleh menjadi penyelesaian kepada mereka yang benar-benar kesempitan wang.

Seorang lagi yang ingin dikenali sebagai Sani, 51, melihat langkah itu hanyalah usaha kerajaan untuk menutup kegagalan mereka dalam menangani kenaikan harga barang dan tangga gaji yang masih rendah.

Sani bimbang sekiranya penstrukturan semula akaun KWSP akan memberikan kesan kepada simpanan rakyat di hari tua.

“Kalau kita baca kajian akaun sebelum distrukturkan hanya mampu tahan 10 tahun.

“Inikan pula bila sudah dipecah menjadi tiga akaun,” katanya.