Skip to main
Logo Malaysiakini

Fitnah pertalian komunis: Mahkamah arah trio DAP, wakil PAS jalani mediasi

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan dua lagi pemimpin kanan parti itu serta ahli parlimen PAS Siti Mastura Muhammad dijadualkan menghadiri proses mediasi yang dinasihatkan oleh mahkamah hari ini.

Ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyelesaikan saman fitnah ketiga-tiga mereka terhadap wakil rakyat PAS itu.

Peguam Sankara Nair, yang mewakili Guan Eng dan veteran DAP, Lim Kit Siang serta ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di Georgetown telah menasihatkan mereka supaya berunding mencari penyelesaian.

Siti Mastura Muhammad

Pada Nov tahun lalu ketiga-tiga mereka memfailkan tindakan sivil terhadap Siti Mastura selepas pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Pusat itu mendakwa mereka mempunyai pertalian dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Tidak sekadar itu, Siti Mastura turut mengaitkan ketiga-tiga mereka dengan bekas perdana menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew.

Sankara berkata bahawa Pusat Mediasi Mahkamah Negeri Pulau Pinang telah menjadualkan perjumpaan bagi ketiga-tiga plaintif dan defendan melalui tiga sesi berasingan hari ini.

Peguam itu berkata, sesi mediasi antara Kit Siang dan Siti Mastura ditetapkan pada jam 11 pagi, sesi Guan Eng pada jam 12 tengah hari manakala perjumpaan dengan Teresa dijadualkan pada jam 2.30 petang ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Siti Mastura, Mohd Faizi Che Abu mengesahkan bahawa sesi mediasi tersebut dijadualkan hari ini.

Sebelum ini, mahkamah sivil telah menetapkan sembilan hari pada September tahun ini untuk perbicaraan penuh saman itu.

Siti Mastura membuat dakwaan berkenaan pada 4 Nov tahun lepas semasa berkempen untuk calon PN bagi Pilihan Raya Kecil Kemaman.

Selain ganti rugi am, Guan Eng, Kit Siang dan Kok turut menuntut pampasan teruk dan menuntut teladan, selain injunksi untuk menghalang defendan daripada terus mengulangi dakwaan tersebut.

Sebelum ini media melaporkan, dalam kenyataan pembelaannya Siti Mastura mendakwa dia membuat dakwaan tersebut berdasarkan "fakta" yang terkandung dalam sebuah buku dikatakannya sebagai sumber boleh dipercayai.

Bagaimanapun dalam jawapan balas, ketiga-tiga plaintif berhujah, sebagai pemegang ijazah kedoktoran (PhD), Siti Mastura sepatutnya menyemak semula maklumat berkenaan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!