Skip to main
Logo Malaysiakini

Kumpulan OKU kesal universiti tolak kemasukan individu autistik

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Kumpulan aktivis orang kurang upaya, Siuman, menyelar jawapan diberikan pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila menolak permohonan seorang pelajar autisitik dalam program sarjana muda.

Siuman berkata diskriminasi sedemikian berleluasa di universiti dan mencerminkan salah tanggapan di kalangan masyarakat.

Mereka menegaskan golongan OKU menghadapi diskriminasi dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk pendidikan.

"Mendapat kad OKU hanya memformalkan diskriminasi itu," tambahnya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Kenyataan itu dibuat susulan hantaran di laman X oleh seorang pengguna @bingbinge656 yang berkongsi jawapan e-mel jabatan pendaftar UTM terhadap pertanyaan seorang pemohon autistik.

Individu itu bertanya mengenai permohonan untuk mengikuti program ijazah sarjana Muda Kimia Industri di universiti berkenaan.

Hantaran itu telah dilihat lebih setengah juta kali.

Siuman berkata kecatatan tidak menghalang mereka tetapi persekitaran yang kurang mesra OKU dan sikap masyarakat.

Berikutan itu, UTM memohon maaf atas maklum balasnya namun mempertahankan pendiriannya dengan menjelaskan program itu memerlukan aktiviti fizikal melibatkan kemahiran kognitif dan pergerakan.

Dalam satu kenyataan, universiti itu menyebut pengendalian peralatan makmal dengan bahan berbahaya sebagai salah satu sebab mengapa keputusan itu dibuat.

Bagaimanapun, universiti itu menyatakan keterbukaan kepada kemasukan khas untuk pelajar OKU jika ketidakupayaan mereka tidak menghalang pengajian dan aktiviti praktikal yang diperlukan untuk program tersebut.

Siuman menyifatkan kenyataan UTM sebagai dangkal termasuk menggunakan istilah 'Orang Kelainan Upaya' dan bukannya 'Orang Kurang Upaya' untuk OKU.

"Kelainan Upaya' bukanlah istilah yang sah atau diterima untuk OKU seperti yang digariskan dalam akta. Ini mencerminkan kejahilan dan salah tanggapan yang menyelubungi OKU," katanya.

Ketika dihubungi, pelajar terbabit, yang hanya ingin dikenali sebagai Elijah, 21, berkata ini adalah pengalaman pertamanya menghadapi diskriminasi dalam pendidikan.

Walaupun menghidapi autisme, dia menjelaskan ia tidak menghalang keupayaannya untuk belajar, walaupun mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk menyiapkan kerja rumah.

Mempersoalkan rasional di sebalik keputusan universiti itu, Elijah berkata dia berjaya menyiapkan tugasan makmal dan peperiksaan ketika di sekolah menengah dan di peringkat A-level di Kuala Lumpur.

"Saya berasa sangat kecewa. Jika (universiti kata) saya tidak boleh buat tugasan makmal, kenapa saya masih boleh bertahan dengan semua tugasan makmal di sekolah menengah?" katanya kepada Malaysiakini.

Elijah mengesahkan hasratnya untuk meneruskan permohonannya melalui sistem permohonan universiti awam (UPU). Dia juga telah menghubungi UTM untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan sedang menunggu jawapan mereka.

"E-mel pertama dihantar pada 8 Mei, dan mereka membalas pada 12 Mei. Saya kemudian menjawab dan bertanya bagaimana saya boleh membuktikan kepada mereka bahawa ketidakupayaan saya tidak akan menjejaskan kerja amali saya dalam program itu," tambahnya.

Dia menjelaskan UTM menjadi pilihan pertamanya dalam permohonan itu. Bagaimanapun, jika permohonannya ditolak, dia bersedia membuat permohonan ke universiti lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!