Skip to main
Logo Malaysiakini

Pisau bedah tak kenal bangsa atau agama, kata ahli akademik

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pisau di tangan doktor tidak akan mendiskriminasi, demikian kata ahli akademik Tajuddin Rasdi sebagai respons terhadap bantahan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Profesor seni bina itu berkata dia "sedih" apabila mengetahui bahawa MPP berkenaan menentang cadangan untuk membenarkan pelajar bukan bumiputera mendaftar dalam program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UITM.

Bagaimanapun, Tajuddin membangkitkan pertanyaan sama ada pelajar atau pendidik yang harus dipersalahkan kerana mengekalkan "minda tertutup" ini.

“Tindakan majlis itu adalah cerminan falsafah pendidikan di Malaysia,” katanya kepada Malaysiakini.

“Universiti sepatutnya menyediakan pelajar mereka untuk menghadapi cabaran global.

"Namun dalam kes ini, kelihatan bahawa pengetahuan tentang sebuah konstruk tertutup sedang disampaikan untuk menanamkan kepercayaan bahawa kelangsungan hidup mereka bergantung pada perlindungan," katanya.

Pensyarah universiti UCSI itu berkata, meskipun tindakan mengekalkan ketakutan ini mungkin memberi manfaat kepada kepentingan politik tertentu, ahli akademik seharusnya berusaha untuk membebaskan pelajar mereka daripada belenggu berkenaan.

“Apakah jenis pendidikan yang anda berikan? Adakah anda menyediakan pelajar untuk bekerja dalam dunia tanpa sempadan? Dalam era globalisasi, ia bukan lagi hanya mengenai Malaysia.

"Atau adakah anda menanam benih yang sama yang telah ditanam selama beberapa dekad yang memberitahu bahawa tanpa keistimewaan atau perlindungan tertentu, anda tidak dapat bersaing dengan orang lain?" tambahnya.

Tajuddin berkata pelajar juga harus sedar bahawa dana untuk universiti mereka datang daripada pembayar cukai pelbagai kaum di Malaysia dan dengan mempunyai lebih ramai pakar bedah kardiotoraks akan menyelamatkan lebih banyak nyawa termasuk bumiputera.

“Jadi ia adalah isu kemanusiaan, bukan isu perkauman. Ia (cadangan parralel pathway) digambarkan sebagai langkah sementara sehingga terdapat penyelesaian lain.

"Oleh itu, adalah malang apabia isu ini telah dirangka dalam bentuk perkauman apabila ia melibatkan isu menyelamatkan nyawa," katanya.

Tajuddin juga merujuk kepada laporan berita baru-baru ini mengenai seorang doktor Malaysia, Ashok Kannan, yang merawat pesakit Palestin di Rafah.

“Saya membaca banyak komen memuji doktor ini kerana mempertaruhkan nyawanya untuk membantu rakyat Palestin. Tetapi di Malaysia, bunyinya berbeza. Ini mengecewakan,” tambahnya.

Rabu lalu, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir mengulangi pendirian bahawa cadangan membuka kemasukan UiTM kepada pelajar bukan bumiputera tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat menteri atau Kabinet.

Semalam, Malaysiakini melaporkan seorang doktor di Sabah mengimbau kembali trauma yang dialaminya apabila menyaksikan detik-detik akhir seorang wanita yang hamil tujuh bulan meninggal dunia akibat kekurangan pakar bedah kardiotoraks.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!