Skip to main
Logo Malaysiakini

Semua projek lebuh raya, jalan raya ambil kira kawasan rayau hidupan liar

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Setiap projek pembinaan jalan dan lebuh raya sudah mengambil kira kawasan rayau hidupan liar bagi mengelak daripada berlakunya konflik antara haiwan dan manusia.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata, kejadian harimau mati dilanggar kenderaan yang berlaku di Kilometer 50.8 (arah Kuala Lumpur) Lebuhraya Pantai Timur (LPT), awal pagi semalam mungkin berpunca daripada projek lain yang berjalan di kawasan berhampiran.

"Saya difahamkan bila sesuatu jalan dibina, lebih lagi di kawasan rayau memang mengambil kira kemungkinan binatang liar masuk ke kawasan jalan itu.

"Macam kemalangan di LPT itu, saya dimaklumkan haiwan itu masuk dari arah timur ke laluan itu dan mungkin ada projek lain yang menyebabkan haiwan terbabit (terlepas) masuk.

"Memang ada pagar di sepanjang laluan, macam di kawasan kejadian sepatutnya ada pagar dan papan tanda... cuma, mungkin berlaku kerosakan (pagar) atau dibuka untuk projek tertentu," katanya ketika ditemui media di Temerloh, hari ini.

Terdahulu, Nanta Linggi merasmikan projek naik taraf jambatan Sultan Haji Ahmad Shah, dekat Temerloh.

Projek itu dimulakan pada tahun 2020 membabitkan peruntukan RM102 juta dan dijangka boleh digunakan Ogos ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin mengesahkan kejadian seekor harimau jantan dewasa mati akibat dilanggar kenderaan di LPT, dekat Bentong.

Harimau jantan dianggarkan seberat 130 kilogram dan berusia empat tahun berdasarkan saiz tubuh haiwan itu dipercayai dari Hutan Simpan Bukit Tinggi.

Mungkin punca dari projek ECRL

Ditanya sama ada projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) di jajaran Bukit Tinggi antara punca kejadian haiwan liar tersesat dan memasuki LPT, Nanta Linggi tidak menolak kemungkinan itu, namun akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkaitan.

"Mungkin juga, tapi saya kena dapatkan dulu maklumat lengkap kerana setahu saya, kawasan itu memang ada pagar.

"Jadi, mungkin pagar itu dibuka atau dirosakkan akibat vandalisme atau berlaku perkara lain, jadi kena tunggu laporan terlebih dahulu," jelasnya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai rungutan ahli parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang mendakwa laluan LPT menghala ke Bentong tidak mempunyai kemudahan lampu jalan mencukupi berbanding laluan menghala ke ibu negara, Nanta Linggi memaklumkan perkara itu tertakluk kepada perjanjian asal antara syarikat konsesi dan kerajaan.

"Mereka (syarikat konsesi) mempunyai obligasi dalam menyediakan kemudahan lampu jalan seperti di kawasan persimpangan bertingkat, susur masuk dan keluar serta kawasan rehat dan rawat.

"Bagaimanapun, kita akan lihat balik obligasi dan perjanjian antara syarikat konsesi dan kerajaan.

"Kalau patut tambah (lampu jalan) tetapi mereka tak buat, maka kita tengoklah apa tindakan boleh diambil," ujarnya.

Young Syefura dalam ciapan melalui aplikasi X semalam berkata dia sudah banyak kali membangkitkan keperluan menyediakan lampu jalan di sepanjang lebuh raya Karak.

"Dah banyak kali saya bangkitkan dalam parlimen kita nak lampu jalan di sepanjang highway Karak tu, kalau tengok dari terowong Genting Sempah ke Gombak terang benderang, tapi area Bentong gelap gelita.

"Dah la selekoh dan naik turun bukit.

"Yang bawa laju satu hal, tapi lampu jalan pun kita perlu!" katanya.

Kekecewaan itu disuarakan berikutan kemalangan membabitkan harimau jantan dewasa yang mati selepas dilanggar kenderaan di lebuh raya berkenaan.