Skip to main
Logo Malaysiakini

Semua wakil rakyat Bersatu diarah nyatakan kesetiaan - Hamzah

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Wakil rakyat dari Bersatu mempunyai tanggungjawab di bawah perlembagaan parti itu untuk setia dan mendukung dasar serta matlamat parti berkenaan, kata setiausaha agungnya, Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata arahan bertulis telah dikeluarkan kepada mereka agar menyatakan kesetiaan kepada parti itu, termasuk enam ahli parlimennya yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

"Khusus kepada enam orang yang diumumkan untuk menyokong sebelah sana (blok kerajaan), ada beberapa arahan tambahan yang kita berikan kepada mereka.

"Mereka tahu dan cuma rakan-rakan media boleh bertemu dengan mereka, tanya apa arahan khusus yang telahpun saya sebagai setiausaha agung berikan selepas menerima arahan daripada MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu)," katanya pada sidang media di ibu pejabat PN di Publika, Kuala Lumpur petang ini.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim ( Gua Musang).

Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari, turut mengumumkan sokongannya terhadap perdana menteri.

Pada 5 April lalu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkata parti itu akan mengambil tindakan terhadap tujuh wakil rakyat tersebut selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Ini bulan puasa, tak apalah, dia boleh beraya dulu. Selepas itu kita akan mengambil langkah-langkah sewajarnya mengikut pindaan perlembagaan,” katanya.

Respons dalam masa 14 hari

Hamzah berkata ahli parti perlu melaksanakan arahan tersebut dan membalas surat dalam masa 14 hari dari tarikh arahan diberikan, iaitu pada 17 Mei.

Ini bermakna tarikh akhir bagi wakil-wakil rakyat Bersatu itu untuk menjawab surat berkenaan adalah pada 31 Mei.

Dia berkata surat-surat tersebut dihantar melalui e-mel, pos dan secara serahan tangan.

"Sebagai parti politik yang berwibawa dan demi memastikan tadbir urus hal ehwal parti yang berintegriti dan bebas rasuah, arahan-arahan khusus di bawah ini telah diputuskan oleh majlis pimpinan tertinggi dan dikeluarkan mengikut Fasal 10 (5) perlembagaan Bersatu,” katanya.

Arahan tersebut adalah untuk mematuhi kepimpinan parti dan mengumumkan mereka tidak menyokong kerajaan perpaduan pada masa ini dalam apa cara sekalipun.

Hamzah juga memuji Radzi Jidin yang turut hadir dalam sidang media itu dengan mengatakan ketua whip Bersatu itu telah mematuhi arahan yang diberikan.

Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, berkata parti itu bersedia mengemukakan notis kepada Dewan Rakyat untuk mengosongkan kerusi enam ahli parlimennya yang menyokong Anwar.

Pada April lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu, membolehkan parti itu mengambil tindakn terhadap enam ahli parlimennya.

Menerusi perlembagaan yang baru dipinda, wakil rakyat terbabit mesti segera mengosongkan kerusi mereka.

Pindaan kepada Perkara 10 perlembagaan Bersatu menetapkan hal-hal berkaitan peletakan jawatan dan pemecatan ahli parti.

Selepas pindaan diluluskan, mana-mana wakil rakyat Bersatu yang melompat parti secara automatik akan terhenti menjadi ahli parti.

Dengan berbuat demikian, mereka juga akan menyebabkan undang-undang anti-lompat parti berkuatkuasa mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan perlu mengosongkan kerusi mereka.