Skip to main
Logo Malaysiakini

PRK KKB beri formula menang di kerusi campuran - Pang

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Kejayaan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan Kuala Kubu Bharu membentuk formula kemenangan untuk kawasan pilihan raya campuran, kata Adun baru kawasan itu, Pang Sock Tao.

Pang percaya formula untuk kawasan pilihan raya bercampur ialah tiada parti boleh memenangi pilihan raya dengan sokongan satu kumpulan etnik semata-mata.

“Keputusan pilihan raya membuktikan bahawa mempertahankan kawasan pilihan raya bercampur memerlukan sokongan daripada semua masyarakat. Walaupun anda menyasarkan untuk meraih sokongan pengundi Melayu 80 peratus, ia mungkin tidak mencukupi.

“Terdapat 165 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia, kebanyakannya adalah kawasan bercampur.

“Dalam pilihan raya akan datang, adakah strategi untuk kawasan campuran melibatkan langkah meletakkan calon Melayu untuk melonjakkan undi Melayu? Atau patutkah kita juga mempertimbangkan kepelbagaian dan kumpulan etnik lain?” katanya.

Pang melahirkan rasa lega kerana kerajaan pusat dapat mempertahankan Kuala Kubu Bharu pada PRK baru-baru ini.

Dia menambah, jika PH kalah dalam PRK KKB, ia boleh mengubah pertimbangan pilihan raya parti lain dalam pilihan raya akan datang.

“Melalui pilihan raya ini, akan ada pertimbangan yang lebih pelbagai dan komprehensif untuk kawasan pilihan raya bercampur pada masa hadapan, dan bukannya pendekatan tunggal dan konservatif," katanya.

Pang berkata demikian ketika membincangkan PRK Kuala Kubu Bharu dalam podcast Malaysiakini versi bahasa Cina.

Episod ini tersedia di YouTube, Spotify, Apple Podcast dan Google Podcast.

Pertahanan yang ketara

Pada pilihan raya kecil yang berakhir Sabtu lepas, Pang daripada DAP menang dengan majoriti 3,869 undi dan mempertahankan kerusi itu untuk PH.

Menurut analisis dalaman DAP, gabungan itu memenangi 16 daripada 18 daerah mengundi di DUN Kuala Kubu Bharu, meningkat tiga berbanding pilihan raya negeri tahun lepas.

Selain itu, bahagian undi PH meningkat 2.17 peratus daripada 54.4 peratus pada pilihan raya negeri lalu kepada 56.57 peratus pada pilihan raya kecil 11 Mei lalu.

Kuala Kubu Bharu merupakan kawasan bercampur dengan 49.3 peratus pengundi Melayu, 30.6 peratus pengundi Cina, 17.9 peratus pengundi India, dan 2.1 peratus pengundi lain.

Sebelum pengundian, terdapat spekulasi awal bahawa DAP mungkin meletakkan Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Saripah Bakar sebagai calon, tetapi Pang akhirnya dipilih untuk tugas itu.

Pada 18 April, enam hari sebelum PH mengumumkan pencalonan Pang, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan RM5.21 juta untuk menaik taraf infrastruktur awam di bawah seliaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Tindakan ini menimbulkan kritikan, sebahagiannya kerana Pang ialah setiausaha akhbar Nga pada masa itu.

“Saya malah menghadiri konsert (penyanyi) Fish Leong (pada 20 April).

"Apabila saya mendapat tahu dengan sahih pada Selasa (23 April), saya sangat gementar dan terpaksa membeli baju putih untuk bergambar,” katanya.

Taktik kempen

Pang juga menjawab kritikan terhadap PH yang mengamalkan taktik berkempen seperti BN, yang bergantung kepada rancangan pembangunan, lawatan dari rumah ke rumah, dan menganjurkan majlis makan malam.

Menurutnya, dalam kempen PRK itu, PH tidak mengumpul dana daripada orang ramai seperti biasa, dan dua daripada majlis makan malam yang diadakan tidak dianjurkan oleh gabungan itu.

“Seorang di Bukit Chandang, dan satu lagi di Kerling.

“Kami dijemput kerana ramai penyokong DAP datang daripada kumpulan masyarakat Cina, termasuk kuil dan pelbagai persatuan Cina, maka kami boleh mengumpul sokongan daripada kumpulan ini,” tegasnya.

Pang turut menegaskan PH tidak mengadakan cabutan bertuah atau persembahan hiburan sepanjang kempen itu.

“Kami tidak menganjurkan cabutan bertuah atau acara hiburan. Sebaliknya, kami mengadakan ceramah di pelbagai lokasi dengan penceramah terkenal.

“Saya percaya dalam tempoh kempen 14 hari, perkara yang paling penting ialah cara menyampaikan mesej kami melalui platform berbeza. Saya rasa kami belum bertukar menjadi kumpulan yang bergantung kepada cabutan bertuah,” katanya.

Pang menambah, tidak seperti pilihan raya umum, kerajaan terus berfungsi semasa PRK dan tidak berperanan sebagai kerajaan sementara.

Justeru, dia menyatakan bahawa pegawai kerajaan, seperti ahli majlis perbandaran, terus mengadakan acara semasa PRK.

“Ia adalah kerajaan semasa, dan aduan mesti ditangani, dan pelbagai aktiviti mesti diteruskan, seperti karnival jualan yang dirancang untuk menjual telur, ayam, dan sayur-sayuran. Aktiviti ini mesti diteruskan,” tambahnya lagi.

[Baca artikel asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!