Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tiada peruntukan undang-undang larang bukan bumiputera masuk UiTM'

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Tiada peruntukan dalam undang-undang yang menghalang kemasukan pelajar bukan bumiputera ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), menurut NGO hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL).

Pengarah LFL Zaid Malek berkata demikian dengan merujuk Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Kenyataan yang dikeluarkan banyak pihak dalam isu ini salah faham dan memutarbelitkan makna Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan perkaitannya dengan UiTM.

"Ini tidaklah mengejutkan kerana sejak awal 1970-an kerajaan dan ahli politik secara konsisten menyalah tafsir dan menyalah guna pelaksanaan Perkara 153 demi kepentingan politik dan menggandaikan perpaduan nasional. Ini merugikan bukan bumiputera, sesuatu yang tidak digambarkan oleh Perkara 153," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaid mengulas sokongan Pemuda Bersatu terhadap protes yang dibuat sejumlah pelajar UiTM terhadap cadangan membenarkan warga bukan bumiputera menyertai program pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di universiti itu.

Dia berkata Perkara 153(2) membenarkan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan perkadaran munasabah hak istimewa dalam pendidikan yang wajar untuk orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.

"(Namun) Perkara 153(1) dengan jelas menyatakan kepentingan sah kaum lain perlu dijaga ketika melaksanakan peruntukan itu.

"Justeru, tiada bahagian dalam Perkara 153 yang membuatkan kebenaran untuk bukan bumiputera belajar dalam mana-mana program di UiTM sebagai melanggar Perlembagaan.

"Penggunaan istilah 'perkadaran munasabah' bermakna jika Agong memutuskan wajar memberikan kuota tertentu untuk orang bukan Melayu masuk ke mana-mana program UiTM, ia secara keseluruhannya selari engan Perkara 153," katanya lagi.


PANDUANKINI | Apakah parallel pathway, mengapa menjadi isu?

Mengulas lanjut, Zaid maklum bahawa penentuan kadar yang munasabah untuk kuota bagi tujuan Pendidikan dalam Perkara 153(2) tertakluk kepada peruntukan dalam Perkara 40, bermakna Agong perlu berpandukan nasihat kabinet.

"Kuasa untuk membuat keputusan akhirnya terletak pada kerajaan. Saya bangkitkan perkara ini kerana trend pada masa ini adalah pemimpin kerajaan cuba mengalihkan tanggungjawab atas tindakan mereka kepada raja berpelembagaan.

"Cadangan untuk membuka program lanjutan bidang kardiotoraks di UiTM berpunca daripada jumlah pakar bedah kardiotoraks yang sangat kurang untuk rakyat Malaysia. Pertimbangan ini tidak melanggar Perkara 153 dan pandangan sedemikian adalah penghinaan kepada Perlembagaan," katanya lagi.

Zaid juga menggesa kerajaan untuk tidak tunduk kepada gesaan "etnonasionalis" yang tidak memikirkan masalah teruk dalam system penjagaan kesihatan di negara ini.