Skip to main
Logo Malaysiakini

Tragedi 13 Mei: Meniti nisan ke nisan cari nama abang

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Cahaya matahari menyinar batu nisan yang ditumbuhi lumut di atas bukit kecil di Sungai Buloh ketika seorang wanita berseluar hitam dan berbaju t berwarna-warni, rambut ubannya memberikan gambaran usia emasnya, membongkok dari satu penanda kubur ke kubur yang lain.

Tidak kisah dengan panas terik, Wong Sau Pong, 72, memicingkan matanya - cuba bersungguh-sungguh untuk melihat nama-nama pada batu nisan mangsa tragedi 13 Mei 1969.

Tiada satu pun daripada lebih 100 kubur di situ memaparkan apa yang dia dan keluarganya cuba cari sejak 55 tahun lalu: nama abangnya.

Wong Sau Pong (kanan)

Menurut Sau Pong, dia kali terakhir melihat Wong Kan apabila mekanik muda itu meninggalkan rumah keluarga mereka di Ampang pada pagi tragedi itu.

Kata Sau Pong, Wong Kan, yang berusia 21 tahun, pergi ke bengkel kecilnya di Kuala Lumpur apabila rusuhan kaum tercetus.

Dia dan keluarga berasa begitu takut ketika mereka menunggu abangnya dan berharap dia pulang ke rumah dengan selamat.

Bagaimanapun, apabila penantian menjadi terlalu perit, bapa Sau Pong kemudiannya pergi mencari Wong Kan termasuk di Hospital Kuala Lumpur dan bilik mayat.


Baca berkaitan: 13 Mei, moga tak berulang


"Ibu bapa saya menangis. Kami sangat takut, terutama untuk abang saya kerana dia tidak pulang dari kerja.

“Setiap hari (semasa peristiwa ketegangan kaum) ibu bapa saya menangis. Abang saya masih sangat muda, dia baru memulakan perniagaan kecil-kecilan ketika ini berlaku.

"Ayah saya telah cuba mencarinya, tetapi tidak berjaya. Dia pergi ke hospital untuk memeriksa di rumah mayat sekiranya mereka mempunyai mayat abang saya, tetapi kakitangan hospital mengatakan terlalu banyak mayat sehingga mereka perlu hantar ke kemudahan lain.

"Dan kami telah mencari sehingga hari ini tidak berjaya," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di tanah perkuburan pagi tadi.

Sau Pong adalah antara ahli keluarga mangsa tragedi 13 Mei yang berkumpul di kawasan perkuburan khas hari ini untuk memperingati ulang tahun ke-55 tragedi berdarah itu.

Majlis itu dianjurkan oleh Persatuan Sahabat Warisan Kuala Lumpur dan Selangor (Pesawa), yang dahulunya dikenali sebagai Jawatankuasa Memperingati Mangsa 13 Mei.

Menurut laporan Majlis Gerakan Negara, seramai 196 orang telah terkorban dalam rusuhan kaum itu. Bagaimanapun, jumlah itu disyaki lebih tinggi, dengan diplomat asing percaya ia hampir kepada 800.

'Jangan berulang lagi'

Sementara itu, bagi Pun Chee Sing, 83, dia berkata sudah menjadi urusan tahunan untuknya menziarahi kubur adiknya.

Adiknya, Pun Chee Cheong, antara yang dikenal pasti mayatnya, tidak seperti beberapa kes di mana mangsa dikebumikan di dalam kubur yang perlu ditanda dengan batu nisan 'tidak dikenali'.

Bercakap kepada Malaysiakini, Chee Sing berkata adiknya, ketika itu berusia awal 20-an, telah keluar berkawal di kawasan kejiranan mereka di Setapak pada petang 13 Mei.

Menurut lelaki itu, ketika itulah adiknya ditembak dan dibunuh oleh individu yang didakwanya seorang tentera.

"Sejak itu saya datang ke sini setiap tahun untuk berdoa. Sudah 55 tahun," katanya.

Apabila ditanya pandangan mereka mengenai hal ehwal sosial semasa di negara ini, di mana ketegangan kaum berisiko memuncak, Sau Pong dan Chee Sing bertindak tegas menolak perpecahan.

"Peristiwa 13 Mei itu sudah lama dahulu. Saya harap rusuhan kaum seperti itu tidak akan berulang lagi.

"Ia sangat menakutkan," kata Chee Sing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!