Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerjasama Malaysia-Uzbekistan tawar potensi amat besar

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Kerjasama Malaysia dan Uzbekistan menawarkan potensi amat besar yang boleh mentransformasi dan memodenkan pembangunan ekonomi kedua-dua negara serta menarik pelaburan, kata Anwar Ibrahim

Perdana Menteri berkata, Malaysia sejak satu setengah tahun lalu dilihat sebagai hab semikonduktor mikrocip di rantau Asia Tenggara menerusi banyak pelaburan daripada syarikat asing utama.

“Keupayaan masa depan kita, kebolehan kita untuk membina kekuatan kita sendiri dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun... itulah kita Uzbekistan dan Malaysia,” kata Anwar dalam ucapan beliau pada Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia di Silk Road Samarkand Complex, di Samarkand semalam.

Kira-kira 200 syarikat dari kedua-dua negara menghadiri forum perniagaan itu yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Khodjaev.

Anwar berkata kedua-dua negara perlu fokus untuk menjalin kerjasama dalam bidang seperti transformasi digital, peralihan tenaga dan juga pembangunan halal.

Menurutnya, selain menjalin perkongsian, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara juga meningkat dari tahun ke tahun.

“Kita kena tingkatkan kerjasama (antara kedua-dua negara). Kita boleh mempermudahkan proses (kemudahan menjalankan perniagaan),” katanya.

Pada 2023, nilai dagangan antara Malaysia dan Uzbekistan berjumlah RM451.1 juta (AS$94.03 juta), dengan eksport ke Uzbekistan berjumlah RM449 juta (AS$93.6 juta) manakala import sebanyak RM1.99 juta (AS$414,518).

Anwar ketika ini berada di Uzbekistan bagi lawatan rasmi selama tiga hari yang bermula dengan ketibaan beliau di Tashkent, ibu kota negara itu pada Jumaat.

Menteri Luar Mohamad Hassan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar merupakan sebahagian daripada delegasi Malaysia yang turut mengiringi Anwar.

- Bernama