Skip to main
Logo Malaysiakini

Parallel pathway: UiTM harap semua pihak berjiwa besar

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Tetap enggan mengubah pendirian, namun Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedia memanfaatkan "pakar" yang ada dalam institusi itu bagi membantu pihak lain menyediakan tempat untuk melatih pakar pembedahan kardiotoraks.

Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Raduan Che Rose, berkata institusi itu terikat dengan peruntukan Perkara 1A Akta UiTM 1976 (Akta 173) yang menyatakan bahawa ia ditubuhkan mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, katanya, mereka tetap berpendirian kemasukan pelajar bukan bumiputera adalah bercanggah dengan peruntukan tersebut.

Pada masa sama Raduan yang juga presiden Majlis Profesor Negara berkata, semua pihak yang terlibat dalam isu berkenaan perlu "berjiwa besar."

Dia juga mendakwa sebuah lagi institusi pengajian tinggi - Universiti Malaya (UM) - sudah bersedia membuka program berkenaan kepada pegawai perubatan yang layak.

“Bagi saya isu ini tidak perlu diperbesarkan lagi kerana UM sudah berada di peringkat akhir dalam menyediakan program tersebut," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tambah Raduan, pihak yang pakar dalam bidang tersebut di UiTM sedia memberikan bantuan yang perlu kepada UM.

"Sama-sama kita berjiwa besar,” katanya lagi.

Tingkat interaksi pelbagai kaum

Terdahulu kontroversi melibatkan UiTM tercetus selepas timbul cadangan agar ia membuka pintu kepada untuk latihan teknikal pakar jantung melalui program parallel pathway kepada pegawai perubatan bukan bumiputera.

Langkah tersebut dirancang hanya untuk sementara waktu sehingga program sama ditawarkan di UM.

Ketika ini hanya tujuh pegawai perubatan bukan bumiputera yang dicadangkan membuat pengajian lanjutan di UiTM.

Seorang ahli akademik pula mengingatkan isu penempatan pegawai perubatan bukan bumiputera itu melibatkan aspek kemanusiaan dan bukannya perkauman.

Penyarah Universiti UCSI Tajuddin Rasdi menjelaskan langkah itu juga bersifat sementara kerana negara berdepan dengan kekurangan pakar pembedahan kardiotraks yang ketara.

Bagaimanapun sehingga kini UiTM bertegas untuk menolak rancangan berkenaan, kecuali ia mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong serta mematuhi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Untuk rekod, di sebalik keberadaan UiTM hanya untuk pelajar bumiputera, sejumlah penuntut dari luar negara sedang mengikuti pengajian di situ.

Menjelaskan hal itu semalam Naib Canselor UiTM Shahrin Sahib berkata langkah institusi itu membuka pintu kepada kemasukan pelajar asing bertujuan untuk menjana pendapatan universiti melalui yuran yang dikeluarkan.

UiTM setakat ini merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Raduan berkata kemasukan pelajar asing tetap tidak bercanggah dengan peruntukan perlembagaan yang menjadi pegangan mereka ketika ini.


Baca Trauma saksi wanita hamil maut tunggu pakar kardiotoraks


Katanya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tertakluk kepada warganegara Malaysia dan pelajar antarabangsa diambil secara berhemah melalui beberapa peraturan yang dibuat.

“Dalam kerangka perkara 153 itu ia tetapkan pelajar-pelajar bumiputera (dalam kalangan) rakyat Malaysia,” katanya.

Pada masa sama Raduan menyelar tuduhan pihak lain yang menganggap institusi itu sebagai tidak berfikiran terbuka.

Sebaliknya, kata Raduan, UiTM akan memperbanyak program-program melibatkan interaksi dengan pelbagai kaum di Malaysia.

“Tadi (hari ini) saya dah beri arahan supaya semua program UiTM, pelajar-pelajarnya berinteraksi dengan semua kaum termasuk program peringkat antarabangsa,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!