Skip to main
Logo Malaysiakini

Azmin akui peralihan sokongan polis, tentera beri kesan pada PN

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali mengakui peralihan sokongan, khususnya polis dan tentera, dalam PRK Kuala Kubu Bharu dua minggu lalu memberi kesan kepada gabungan itu.

“Itu memberikan kesan yang agak besar kepada PN, bukan sahaja undi awal di kalangan polis dan tentera tetapi juga undi orang asli di daerah mengundi Pertak yang kita menang sebelum ini.

"Kita sedang teliti dalam post mortem kita (tentang) mengapa peralihan (sokongan) secara mendadak," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PN di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, Azmin yang juga pengarah pilihan raya PN menafikan penjawat awam tidak lagi menyokong mereka, memandangkan pengundian awal bagi PRK Kuala Kubu Bharu hanya melibatkan tentera dan polis.

"Jadi, nak kata penjawat awam dan anggota kerajaan tidak sokong PN itu tidak betul...Tdak ada anggota perkhidmatan awam daripada jabatan lain (selain polis dan tentera) yang terlibat (dalam pengundian awal)," katanya lagi.

Justeru, dia yakin penjawat awam masih merupakan penyokong kuat PN dan tidak terperanguh dengan apa yang disifatkannya sebgai "gula-gula pilihan raya" daripada kerajaan, seperti pengumuman kenaikan gaji 13 peratus yang dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam PRK tersebut, anggota polis memberikan 249 undi untuk calon kerajaan perpaduan (84.1 peratus) dan 47 untuk PN (15.8 peratus).

Peratusan itu berbeza dengan PRN 2023, apabila hanya 119 undi polis diberikan untuk kerajaan perpaduan (23.47 peratus) dan 388 undi untuk PN (76.5 peratus).

Manakala untuk tentera, sokongan kepada kerajaan perpaduan meningkat daripada hanya 27 undi (16 peratus) pada 2023 kepada 84 undi (54.2 peratus) pada PRK kali ini. Sokongan kepada PN pula menurun daripada 142 undi (84 peratus) pada 2023 kepada 71 undi (45.8 peratus).

Sementara itu, Azmin memaklumkan PN sedang mengumpul bukti dalam usaha parti itu untuk memfailkan petisyen pilihan raya.

Menurutnya, ketua untuk kesemua 16 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kuala Kubu Bharu sedang mengumpul bukti dan fakta untuk disemak peguam sebelum ia difailkan.

"Arahan diberi pengerusi PN (Muhyiddin Yassin) kepada peguam untuk kumpul semua fakta dan bukti yang kita dapat kutip di lapangan untuk disemak barisan peguam yang kita lantik.

"Kita akan pilih kes lebih berat untuk kemuka petisyen dan itu tertakluk kepada keupayaan kita mengumpul maklumat tepat sebelum kemuka permohonan rasmi untuk petisyen," katanya lagi.