Skip to main
Logo Malaysiakini

'Unjuran pekerja asing tak lebih 15 peratus akan dicapai hujung tahun'

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Unjuran siling kemasukan pekerja asing iaitu tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah guna tenaga negara seperti yang ditetapkan Kementerian Ekonomi akan dapat dicapai sebelum 31 Dis tahun ini, menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata setakat ini 17.1 juta daripada 34 juta rakyat Malaysia adalah dianggap sebagai kelompok atau tenaga boleh guna.

“Jadi 15 peratus siling yang diberikan Kementerian Ekonomi bermaksud jumlah pekerja asing seluruh negara tidak boleh melampaui siling itu.

“...dan kita dapati siling yang ditetapkan oleh kementerian itu akan dicapai pada penghujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa bersama Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong di Putrajaya hari ini.

Saifuddin Nasution berkata unjuran berkenaan turut mengambil kira jumlah pekerja asing sedia ada, jumlah pekerja asing yang majikan mereka telah mendapat kelulusan kuota dan jumlah yang telah mendaftar melalui program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Dia berkata mesyuarat juga bersetuju bahawa pembekuan kemasukan pekerja asing adalah diperakukan.

Katanya lagi, mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk membenarkan penggajian kali pertama terhadap tekong asing melebihi usia 60 tahun bermula tahun ini dan ia memandangkan tekong mempunyai pengalaman besar selain sektor perikanan menyumbang RM16.5 bilion hasil tangkapan setiap tahun.

“Kita benarkan (penggajian tekong) 60 tahun ini dan tempoh adalah tidak melebihi 36 bulan sebab pas lawatan kerja sementara adalah setiap enam bulan. Musim tengkujuh dia (tekong) tidak turun ke laut,” katanya.

Saifuddin berkata setakat ini, jumlah tekong yang dibenarkan untuk digajikan ialah 332 orang dan dihadkan hanya tempoh tiga tahun sah.

“(Selepas itu) kita akan kaji semula dan minta kementerian merangka ‘exit policy’ (dasar pemisah) dan penggunaan teknologi semasa bagi menampung kemampanan perikanan dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Sim berkata Kementerian Sumber Manusia menyokong keputusan mesyuarat jawatankuasa bersama untuk melanjutkan pembekuan kuota kemasukan pekerja asing

Sebelum ini, dia dilaporkan berkata kerajaan mengekalkan keputusan untuk membekukan kelulusan kuota kemasukan pekerja asing baru rentetan bilangan pekerja dalam negara telah menghampiri sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut Sim jumlah pekerja asing yang bekerja dalam negara adalah seramai 2,171,798 orang berlandaskan kepada rekod Jabatan Imigresen Malaysia setakat 15 Mac.

-Bernama