Skip to main
Logo Malaysiakini

7 Jun - Keputusan pendakwaan peribadi terhadap Zamri, Firdaus

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan apakah aktivis, S Shashi Kumar dibenarkan untuk memulakan pendakwaan peribadi terhadap dua pendakwah Islam yang didakwa menghina agama dan amalan orang bukan Islam.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan hakim Ahmad Zaidi Ibrahim hari ini menangguhkan keputusannya dalam rayuan yang dikemukan Shashi, berhubung keputusan mahkamah tinggi yang menolak permohonan untuk meneruskan pendakwaan peribadi di bawah Seksyen 133 Kanun Tatacara Jenayah, terhadap Muhammad Zamri Vinoth dan Firdaus Wong.

Panel hakim yang turut dianggotai oleh hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Mohamed Zaini Mazlan, menetapkan 7 Jun ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh untuk menyampaikan keputusan mereka berhubung rayuan aktivis itu.

Pendakwaan peribadi ialah situasi undang-undang di mana seseorang individu membuat aduan kepada majistret untuk meminta pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa seseorang individu lain di mahkamah.

Pada tahun 2020, beberapa laporan polis dibuat terhadap dua pendakwah mualaf itu. Shashi memfailkan permohonan pendakwaan peribadi itu di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 8 Jan 2021.

Bagaimanapun, pada 3 Sept 2021, Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menolak permohonan itu, atas alasan siasatan polis terhadap Firdaus adalah NFA (Tiada Tindakan Lanjut) dan siasatan itu masih diteruskan ketika itu terhadap Zamri.

Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan keputusan menolak permohonan untuk meneruskan pendakwaan peribadi itu tahun lepas.

Polis menyiasat kedua-dua pendakwah itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana kesalahan menimbulkan permusuhan antara kumpulan berbeza atas alasan agama atau kaum.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sekurang-kurangnya dua tahun, dengan tempoh tahanan maksimum lima tahun.

SD dan memorandum

Dilaporkan bahawa Shashi dalam akuan berkanunnya (SD) berkata dia membuat laporan polis terhadap Firdaus pada Januari 2018 selepas mendakwa melihat beberapa hantaran di media sosial.

Aktivis itu berkata pada tahun yang sama, dia menghantar memorandum kepada perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad serta kementerian dalam negeri, kementerian komunikasi dan multimedia, dan kementerian perpaduan negara, selain jabatan Hal Ehwal Islam dan Pejabat Peguam Negara (AGC).

Dalam SD berasingan, Shashi berkata dia juga telah membuat laporan polis terhadap Zamri pada Jun 2020, kerana dikatakan menghina amalan Hindu di akaun Facebooknya.

Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global itu mendakwa polis tidak menjawab pertanyaannya mengenai status laporan terhadap dua pendakwah itu.

Firdaus ialah presiden dan pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), manakala Zamri ialah presiden Angkatan Skuad Mubaligh Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia.

Shashi diwakili peguam S Ravichandran, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail.