Skip to main
Logo Malaysiakini

Sebagai ahli politik, Musa memang 'bodoh', kata bekas TPM

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Musa Hitam hari ini mengimbau detik dia 'berseteru' dengan Dr Mahathir Mohamad ketika mereka menjadi orang terpenting sama ada dalam kerajaan atau Umno lebih 35 tahun lalu.

Kata Musa, dia memang 'bengang' apabila salah seorang pemimpin kanan Umno ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah, dilantik sebagai menteri perdagangan dan industri.

Hal tersebut kerana, kata Musa, dia memang mahu mengetepikan ahli politik dari Kelantan itu tetapi sebaliknya diberikan tempat sebagai anggota kabinet oleh Mahathir.

"Itu menunjukkan betapa bodohnya saya dalam politik ketika itu," katanya.

Musa yang pernah menjadi timbalan perdana menteri menegaskan, di sebalik kenaifannya itu, dia menganggap Mahathir bahkan seorang ahli politik yang lihai.

Kerana itulah, kata Musa, Mahathir memilih dirinya sebagai timbalan perdana menteri berbanding Tengku Razaleigh yang dianggap lebih pintar.

"Sebagai ahli politik, Musa memang bodoh.

"Bagi Mahathir, di antara saya dan Ku Li (Tengku Razaleigh), saya adalah pilihan yang lebih baik sebab saya bodoh, tak ada duit dan tak pandai.

"Sebaliknya Ku Li merupakan ancaman terdekat (kepada Mahathir ketika itu). Masalah terbesar Mahathir ialah Ku Li," katanya di Kuala Lumpur sempena majlis pelancaran buku Ku Li: Memoir 205 hari ini.

Tengku Razaleigh turut hadir di majlis tersebut.

Duduk sebelah Mahathir

Konflik dalaman Umno pada penghujung 1980-an dulu menyaksikan parti itu diharamkan oleh mahkamah. Ia berakar daripada persaingan di antara kem Mahathir, dengan kumpulan Tengku Razaleigh yang disokong Musa.

Kemelut itu juga kemudian menyaksikan kelahiran Parti Melayu Semangat 46 yang diketuai Tengku Razaleigh. Bagaimanapun Musa tidak menyertai parti tersebut.

Semangat 46 kemudian dibubarkan dan Tengku Razaleigh kembali menyertai Umno beberapa tahun kemudian.

Kata Musa dalam fikirannya dia yakin Tengku Razaleigh memang boleh menjadi perdana menteri pada suatu hari nanti jika pertembungan mereka dengan Mahathir tidak berlaku.

"Saya tak mahu beritahu anda sekarang Ku Li: You bodoh, I pun bodoh," katanya berseloroh.

Musa yang juga bekas menteri dalam negeri turut menceritakan bagaimana pada suatu mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 1986, Mahathir secara terbuka memberitahu semua yang ada bahawa ada seseorang yang "tidak sabar" mahu menjadi presiden Umno.

"Ada satu malam dia (Mahathir) kata dia ada dengar orang ini (yang mahu mencabarnya) jahat.

"Saya pun macam bodoh dan (ketika itu) saya duduk sebelah dengan pemimpin yang sangat penting (Mahathir) kerana saya (ketika itu adalah) timbalan (presiden Umno).

"Saya pusing (untuk bertanya Matahir) siapa (individu) yang dia cakap ini?

"Percaya atau tidak, saya tanya siapa dia (individu yang dimaksudkan itu) ada (ahli mesyuarat pada hari itu) beritahu: You-lah!" katanya.

Keesokan harinya, kata Musa, dia bertemu dengan Mahathir dan menyatakan keputusan untuk meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

Alasannya, kata Musa, kerana dia "tak boleh buat kerja" seperti yang sepatutnya dan "bodoh".

Kenyataan itu, tambah Musa, disambut Mahathir dengan terkejut.

Terkekang oleh wang

Musa turut berkongsi kisah mengapa dia tidak mahu menentang Mahathir dalam pemilihan parti pada - yang kemudian membawa kepada pengharaman Umno pada 1988.

Menurut Musa, kekangan utama dia untuk mencabar Mahathir ialah wang, selain mahu bersikap lebih realistik.

"Saya berdepan apa saja bentuk realiti iaitu saya tak ada duit langsung.

“Apabila kita (Umno) berpecah, ada Umno baru dan Umno lama. Ku Li mengetuai kumpulan B dan lepas itu kumpulan B jadi Semangat 46.

"Saya fikir saya pandai sangat (sebab ada (Tun) Abdullah Badawi dan Shahrir (Samad) dan ada budak-budak kita bersama.

"Soal duit macam mana? Saya lihat kepada Shahrir. Seorang pun tak ada duit. Cuba juga untuk dapatkan sumbang tapi tak menjadi dan ia tak semudah itu. Ini adalah realiti.

"Berbalik kepada wang, saya sedar saya tak ada duit dan isu duit adalah cabaran terbesar dalam politik atau orang politik, kerajaan dan parti politik kena hadapi," katanya.

Dr Mahathir Mohamad

Mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan Mahathir ketika ini, Musa menegaskan, berbeza daripada anggapan orang ramai, ia adlaah baik-baik saja dan tidak bermasalah.

Jika ada orang 'melompat' setiap kali dia bercakap mengenai bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu, kata Musa, dia tetap tidak teruja.

“Apa yang saya beritahu ini sebenarnya tak ada kepentingan dan bukan tujuan untuk memburukan Dr Mahathir.

“Setiap kali saya terjumpa atau berjumpa dengan Mahathir, kami tak ada masalah, kami bersalaman, bergurau senda, orang lain saja yang fikir sebaliknya dan itu masalah mereka, bukan saya.

"Masalah saya antara saya dengan Allah SWT,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!