Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki pamer gambar Agong di KKB fail semakan terhadap sabitan, hukuman

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

P Ramasamy, lelaki yang dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) baru-baru ini memfailkan permohonan semakan untuk membatalkan sabitan serta hukuman tersebut.

Ketika dihubungi petang ini, peguamnya, Rajesh Nagarajan mengesahkan permohonan itu difailkan awal bulan ini, dan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis minggu ini.

"Hujah kami bahawa pengakuan bersalah anak guam kami adalah bersebab dan bukannya tanpa sebab, justeru sabitan itu tidak sah," kata peguam berkenaan kepada Malaysiakini.

Dia menambah bahawa permohonan semakan akan didengar oleh Hakim Wendy Ooi Su Ghee.

Pada 6 Mei lalu, Mahkamah Majistret KKB menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 terhadap Ramasamy.

Majistret Siti Fatimah Talib menjatuhkan hukuman itu susulan pengakuan bersalah lelaki berusia 66 tahun itu ketika didakwa di mahkamah.

Mahkamah mengarahkan Ramasamy yang berkerja sendiri itu, untuk menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 4 Mei dan akan dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Ramasamy didakwa melakukan perbuatan itu dan membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH) menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam PRK KKB, untuk mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon PH.

Perbuatan itu dilakukan di sekitar Taman Bukit Bunga berhampiran Hulu Selangor pada kira-kira 5.40 petang, 4 Mei.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(A)1 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ramasamy dalam rayuannya memohon maaf kepada mahkamah selain meminta diberikan hukuman ringan, atas alasan beliau tidak mengetahui bahawa tindakan berkenaan adalah salah.

Asmah pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, bahkan untuk rakyat Malaysia supaya kejadian seperti itu tidak lagi berulang.