Skip to main
Logo Malaysiakini

Ku Li: Petronas ditubuhkan atas kehendak orang Sarawak sendiri

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Petronas ditubuhkan antaranya atas kehendak rakyat Sarawak sendiri bagi menguruskan kegiatan industri petroleum termasuk di negeri itu, kata pengasasnya Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh, atau mesra disapa Ku Li, berkata demikian di tengah langkah Petroleum Sarawak Bhd (Petros) yang akan mengambil alih peranan Petronas dalam semua kegiatan jual beli gas asli di negeri itu.

“Ini perkara amat kontroversi kerana seolah-olah Sarawak tak mahu kita teruskan pengurusan minyak...Tetapi tidak dapat tidak, kita semua perlu rujuk kepada sejarah.

“Penubuhan Petronas adalah atas kehendak orang Sawarak sendiri kerana bekas ketua menteri dan bekas yang di-pertua negeri) Allahyarham Tun Rahman Ya’kub yang mencadangkan supaya Petronas tidak dimiliki oleh sesiapa, sebaliknya dimiliki oleh rakyat Malaysia," katanya ketika sesi soal jawab di majlis pelancaran buku bertajuk Ku Li: Memoir 205 di Kuala Lumpur, hari ini.

Ku Li berkata demikian ketika mengulas pengambilalihan peranan Petronas oleh Petros dalam semua kegiatan jual beli gas asli di Sarawak.

Menurut laporan Bernama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Julaihi Narawi berkata tempoh peralihan pengambilalihan itu bermula 1 Julai depan sehingga 1 Januari 2025.

"Petros akan mengambil alih peranan tersebut daripada Petronas bukan sahaja sebagai pembeli dan penjual gas asli, malah Petros akan menjalankan semua aktiviti yang berkaitan perolehan, pembekalan dan pengedaran gas asli yang dihasilkan di Sarawak," katanya ketika menggulung perbahasan untuk kementeriannya pada sidang DUN Sarawak pada 13 Mei lalu.

Dia berkata Petros dan Petronas telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian definitif berkaitan pengambilalihan itu.

Mengulas lanjut, Ku Li berkata selepas tertubuhnya Petronas di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974, rundingan pun dibuat dengan British dan syarikat Shell berhubung minyak dan gas di negara ini.

“(Ketika itu) kita yakin pemilikan minyak akan menguntungkan negara. Kita tak fikir siapa dan mana negeri (yang terlibat) kerana kita sudah ada satu perjanjian sesama kita, bersama rakyat Malaysia apabila lulusnya Akta Kemajuan Petroleum di Parlimen dan sesudah negeri-negeri dirundingi dan mereka memberikan hak minyak dan gas di bawah akta itu.

"Oleh sebab itu, mana-mana negeri yang ada minyak atau dapat hasil minyak daripada kawasan berhampiran dibayar lima peratus (royalti) berdasarkan keuntungan yang diperolehi," katanya lagi.

Buku Ku Li: Memoir 205 yang ditulis Zinitulniza Abdul Kadir dilancarkan oleh bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam.

Ku Li ketika menyampaikan kata-kata aluannya, berkata dia terharu dan bangga dengan kesanggupan Musa dan isterinya, Zulaikha Sheardin untuk hadir ke majlis hari ini.