Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak nafi Abu Bakar ada kaitan dengan madrasah di Ulu Tiram

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Seorang anak kepada pengasas Jemaah Islamiyah (JI) Abu Bakar Bashir mendakwa tokoh agama itu tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan Madrasah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram, Johor, sejak kembali ke Indonesia pada 1999.

Ketika dihubungi, Abdul Rahim Bashir berkata, bapanya juga tidak mempunyai hubungan dengan ahli keluarga penyerang berusia 21 tahun yang ditembak mati dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram baru-baru ini.

“Kami tidak mengenali mereka. Semasa Ustaz Abu Bakar berada di sana (di Malaysia), mereka (keluarga suspek) mungkin pergi ‘mengaji’ (belajar) daripadanya, tetapi dia tidak mengenali setiap seorang daripada mereka," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Tegas Abdul Rahim, Abu Bakar juga bukan pengasas yang mendirikan Madrasah Luqmanul Hakim sebaliknya hanya hadir sekiranya diundang mengisi pengajian.

Malah, katanya, Abu Bakar tidak lagi mempunyai hubungan sejak pulang ke Indonesia dan madrasah itu pula ditutup.

“Siapa pun yang ada di pondok itu, Ustaz Abu Bakar bukan sebagai pengurus pondok dan ataupun pendiri pondok itu.

“Mereka yang membangunkan pondok itu menganggap Ustaz Abu Bakar sebagai guru dan dia dijemput mengisi pengajian,” jelasnya.

Dia berkata demikian ketika ditanya sama ada Abu Bakar atau warisnya mempunyai hubungan dengan keluarga suspek yang bertindak menyerang balai polis berkenaan.

Hal itu kerana keluarga pemuda tersebut masih tinggal dalam kawasan madrasah yang ditutup sejak 20 tahun lalu itu.

Untuk rekod Noordin Mohd Top yang maut dalam serangan hendap oleh pihak berkuasa Indonesia pada 17 Sept 2009 kerana peranannya di sebalik pelbagai pengeboman di seluruh Indonesia pada awal 2000-an antara bekas pelajar Madrasah Luqmanul Hakim.

Terdahulu kerajaan Johor dilaporkan mungkin akan merobohkan Madrasah Luqmanul Hakim itu atas faktor keselamatan.

Itu tidak sesuai

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata Majlis Agama Islam Johor dan polis membuat pertimbangan itu.

Dalam laporan berasingan Mohd Fared berkata pihaknya juga akan menyemak status madrasah terbabit.

Dalam kejadian Jumaat lalu, dua anggota polis Balai Polis Ulu Tiram meninggal dunia dan seorang cedera susulan serangan menggemparkan seluruh negara.

Ketua Polis Negara Razaruddin Husain berkata, suspek serangan itu tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Namun jelasnya, bapa lelaki terbabit ada pengalaman dengan kumpulan JI.

Mengulas lanjut Abdul Rahim berpendapat adalah tidak tepat untuk mengaitkan kejadian itu dengan kewujudan madrasah berkenaan.

“Kami melihat untuk mengaitkan pondok itu dengan pembunuhan kelmarin, itu tidak sesuai. Pasti tidak ada bukti kerana pondok sudah lama ditutup.

“Ketua polis Malaysia (Razarudin) sendiri sudah mengatakan itu tindakan individu,” jelasnya.

Abu Bakar pernah tinggal di Malaysia untuk melarikan diri daripada rejim Presiden Soeharto.

Dia kemudian kembali ke Indonesia selepas tokoh terbabit ditumbangkan sebelum terlibat menubuhkan Majlis Mujahidin Indonesia yang bertujuan untuk melaksanakan undang-undang Islam di republik itu.

Pada 2021, dia diberi pembebasan awal selepas menjalani sekitar 10 tahun daripada 15 tahun hukuman penjara atas dakwaan menganjurkan latihan separa tentera untuk militan di Aceh.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!