Skip to main
Logo Malaysiakini

Kaum bukan Melayu tidak berharap dengan UiTM

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Rata-rata bukan bumiputera terutamanya kaum Cina tidak menaruh harapan tinggi untuk memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Hasil tinjauan Malaysiakini mendapati kaum bukan bumiputera melihat universiti itu sebagai hak keistimewaan orang bumiputera yang tidak boleh dipertikaikan.

Seorang pengurus di syarikat swasta, Daniel Teoh Tzu Yong, 33, berkata dia percaya kaum Cina tidak pernah mengambil kisah akan UiTM.

“Kebanyakan orang Cina memang sudah terima hakikat bahawa mereka memang tidak akan mendapat bantuan dan keistimewaan daripada kerajaan sepertimana orang Melayu,” katanya kepada Malaysiakini.

Akauntan, Wendy Ling, 32, turut menyatakan hal yang sama dengan menerima hakikat mereka bukan bumiputera.

“Kami tidak mendapat banyak manfaat daripada kerajaan seperti bumiputera. Jadi kami harus bekerja lebih kuat untuk mendapat apa yang kami mahu,” katanya.

Terdahulu, Majlis Perwakilan Pelajar UiTM menyeru mahasiswa di universiti berkenaan memakai pakaian hitam sebagai membantah rancangan membuka IPT terbabit kepada pelajar bukan bumiputera.

Mereka turut meminta mahasiswa memuat naik gambar bersama tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di platform media sosial sebagai menyokong kempen yang dilancarkan itu.

Hal ini berikutan timbul cadangan agar UiTM membuka pintu untuk latihan teknikal pakar jantung melalui program parallel pathway kepada pegawai perubatan bukan bumiputera.

Langkah tersebut dirancang hanya untuk sementara waktu sehingga pogram sama ditawarkan di UM.

Ketika ini hanya tujuh pegawai perubatan bukan bumiputera yang dicadangkan membuat pengajian lanjutan di UiTM dalam bidang pembedahan kardiotoraks.

Kebanyakan orang Melayu di media sosial memberikan reaksi negatif akan cadangan ini bahkan mendakwa terdapat usaha untuk memastikan bukan bumiputera memasuki UiTM secara halus.

Pelajar di universiti swasta, Yap Xiang, 23, memberitahu dia tidak berminat untuk memasuki UiTM kerana universiti itu tidak mencerminkan kepelbagaian kaum, di samping dia lebih selesa dengan peraturan longgar di universiti swasta.

“Saya selesa dengan tempat belajar saya sekarang. Tidak pernah sesekali saya terfikir untuk menyambung pelajaran ke UiTM,”katanya.

Seorang lagi pelajar dari universiti swasta juga, Max Tang, 24, memberitahu tempat dia melanjutkan pelajaran mempunyai fasiliti, suasana pembelajaran, kedudukan ranking dan peluang kebolehpasaran graduan yang lebih baik dari UiTM.

“Saya tidak perlukan UiTM,” katanya.

Tinjauan Malaysiakini terhadap pelajar sekolah jenis kebangsaan Cina turut mendapati mereka tidak memasang niat untuk melanjutkan pelajaran di UiTM apabila tamat persekolahan.

Pelajar yang ingin dikenali sebagai Chua, 16, menyatakan dia lebih memasang impian untuk menyambung pelajaran di institusi swasta.

Lebih mengejutkan seorang pelajar dikenali sebagai Sheryl, 17, tidak tahu akan kewujudan UiTM.

“Saya tidak pernah dengar tentang UiTM. Cita-cita saya ingin melanjutkan pelajaran ke Taylor University,” katanya.

Tinjauan daripada beberapa orang kaum India mendapati ada yang berminat menyambung pelajaran ke UiTM kerana suka bergaul dengan rakan berbilang bangsa seperti orang Melayu.

Namun mereka akur akan kedudukan istimewa orang bumiputera yang tidak boleh dipertikaikan.

Pelajar dari universiti awam, Sashvin Chandran Nair, 20, menyatakan pentingnya UiTM menerima kepelbagaian kaum atas semangat 1 Malaysia.

Namun dia akur dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Rakan-rakan India saya ada pandangan yang sama. Namun kami risau hal ini boleh membawa kepada isu perkauman,” katanya.

Rakannya Paarveen Ravindran, 21, menyatakan daripada memperdebatkan isu UiTM, adalah lebih baik kerajaan memfokuskan untuk memudahkan bukan bumiputera untuk menyambung ijazah sarjana muda dengan pertambahan kouta di matrikulasi dan asasi.