Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Dari Changkat Pavilion ke WTC

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Generasi seusia saya mengenali Changkat Pavilion kerana pesta buku. Bangunan sederet yang amat sederhana itu menyimpan kenangan kepada pencinta buku kerana mudah dituju.

Bas mini warna merah jambu dari pelbagai arah pasti melalui Changkat Pavilion yang terletak di tengah Kuala Lumpur. Bas Sri Jaya juga sesekali menapak di situ.

Kami boleh berjalan dari Pasar Budaya ke ruang pesta buku. Tarikan harga murah mendorong kami mengumpul duit yang tidak seberapa untuk mendapatkan karya bermutu.

Kuala Lumpur pada dekad 1980-an tidak banyak aktiviti jualan dengan diskaun menarik. Bagi kami warga kota yang bergaji RM600 sebulan terpaksa berdikit untuk mencukupkan keperluan asas dan santapan otak.

Harga buku sajak Sungai Mekong karya A Latiff Mohidin bukan mudah dicapai walaupun hanya RM3 ketika itu. Hanya di pesta buku kami boleh membeli buku pada separuh harga tapi memperoleh yang terbaik.

Dari situlah kami mengenali siapa A Samad Said, Usman Awang, William Shakespeare dan Kafka.

Pameran buku peringkat antarabangsa yang pertama diadakan di Kuala Lumpur ialah pada 1972. Ia dikenali sebagai International Exhibition of Book Trade and Industry.

Ia dianjurkan oleh pengusaha buku tempatan sempena Tahun Buku Antarabangsa yang diisytiharkan oleh Unesco.

Jadi aktiviti tahunan

Beberapa pameran lain yang lebih kecil telah diadakan oleh syarikat persendirian. Pada 1976, Persatuan Penerbit Buku Malaysia mengadakan Pameran Buku Kebangsaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor dengan harapan agar ia dijadikannya acara tahunan.

Penglibatan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dalam aktiviti promosi buku bermula pada 1982 melalui penganjuran Pesta Buku Malaysia dengan kerjasama persatuan industri perbukuan tempatan.

Tempatnya di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

MBKM sewaktu penubuhannya pada 1968 dikenali dengan nama Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan Malaysia (MKBK) manakala urus setianya diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Penubuhan MKBK sebagai sebuah badan khas yang diberi peranan dan tanggungjawab ke arah memajukan bidang perbukuan negara adalah hasil saranan pakar buku dari Asia Pasifik yang bersidang di Tokyo, Jepun pada  1966 atas undangan Unesco.

Walaupun pesta buku peringkat negara dan antarabangsa diadakan buat pertama kalinya pada 1972, namun bagi MBKM, Pesta Buku Malaysia pada  1982 adalah aktiviti yang julung kali diadakan secara besar-besaran dan berterusan sebagai aktiviti tahunan.

Pada 1988, acara tersebut kemudiannya dikenali sebagai Pesta Buku Kuala Lumpur (PBKL) apabila lokasi penganjurannya berpindah ke Changkat Pavillion.

Dari Changkat Pavilion, pesta buku dipindahkan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan pada 1991.

Ada ceritera sendiri

PBKL sekali lagi telah dijenamakan semula dengan nama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) atau Kuala Lumpur International Book Fair (KLIBF).

Ketika itu penyertaannya turut dibuka kepada pengusaha buku dari luar negara.

PBAKL 2024 akan kembali dari 24 Mei hingga 2 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Kali ini PBAKL juga diadakan secara hibrid iaitu bersemuka dan dalam talian dalam usaha memartabatkan buku sebagai sumber ilmu pengetahuan.

Kemajuan teknologi digital tidak pernah menghakis keperluan manusiawi terhadap buku. Betapa hebat dan gah sistem dalam talian, manusia tetap mendambakan buku sebagai rujukan dan rakaman minda yang tidak boleh dikorbankan.

Zaman dulu pesta buku adalah pesta jual buku. Ia merupakan detik pembeli datang untuk membeli buku, bukan ada tujuan lain. Lepas beli buku, balik. Penjual tutup kedai.

Keadaan kemudian berubah kerana pesta buku dijenamakan dengan pelbagai citra. Akhirnya ada ceritera tersendiri.

Perubahan masa menjadikan pesta buku sebagai medan meraih laba. Penulis yang kurang terkenal terpaksa memperkenalkan diri kepada penulis atasan dengan alasan salam perkenalan.

Di kiri kanan pula ada habuan untuk anugerah buku, Anugerah Penulis Asia Tenggara atau melobi calon sasterawan negara untuk kuota akan datang.

Jangan terperanjat jika ada orang yang belum layak menerima anugerah kemudian tiba-tiba dinobatkan sebagai wira kertas yang akhirnya mudah koyak dihujani masa.

Bagi yang mahu berpesta dengan buku, berpestalah. Buku tidak akan merugikan jiwa kamu yang sentiasa perlukan kewarasan. Kata Karl Marx, bunuh kebodohan itu.

Buku yang bagus - sejak berzaman - adalah mewakili daerah dan ruang masa. Sejak manusia mengenali alat tulis dan mesin cetak, sejumlah 129,864,880 buku telah diterbitkan.

Ada juga karya yang tidak sempat diterbitkan kerana gangguan rejim penguasa.

Hamka beruntung kerana Tafsir al-Azhar berjaya diterbitkan selepas dia bebas daripada cengkaman penjara Sukarno.

Dan juga beruntung apabila dia juga sempat diwasiatkan agar mengimamkan solat jenazah Sukarno sebelum jasad Presiden Indonesia itu dibawa ke liang lahad.


IMLAN ADABI ialah penulis dan bekas wartawawan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.