Skip to main
Logo Malaysiakini

Kontena jual arak, rokok seludup kena serbu

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Sebuah kontena yang diubah suai menjadi kedai runcit berhampiran tapak projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dekat Gebeng, Pahang, diserbu penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang pada 10 Mei lalu.

Serbuan dilakukan selepas mendapat maklumat awam dan risikan mengenai aktiviti penjualan minuman keras dan rokok seludup di premis itu.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman, berkata pemeriksaan dijalankan di premis berkenaan menemui pelbagai jenis rokok dan minuman keras tidak berkastam bernilai RM69,612.99.

"JKDM Pahang juga berjaya menahan tiga suspek dalam serbuan kira-kira jam 6 petang itu.

"Mereka adalah seorang lelaki warga Pakistan dan dua lelaki warga Myanmar berusia 20-an dan mereka diremah selama 15 sehingga esok," katanya pada sidang media di Kuantan, hari ini.

Tambah Mohd Asri, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(c) Akta Eksais 1976.

Mohd Asri memberitahu, warga Pakistan yang ditahan dipercayai turut bekerja di tapak ECRL, manakala dua lagi adalah pekerja kedai runcit terbabit.

"Kami sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilik sebenar premis itu," katanya lagi.

Dia juga tidak menolak kemungkinan semua rokok dan minuman keras itu dibawa masuk dari China dan dijual untuk pekerja warga asing di tapak projek berkenaan.

Sementara itu, dalam satu serbuan lain di sebuah kediaman di Taman Nasib, dekat Kluang, Johor pada 4 Mei lalu, JKDM Pahang berjaya merampas rokok seludup bernilai RM791,120.

Mohd Asri berkata, premis itu tidak berpenghuni ketika serbuan dilakukan pasukan penguat kuasa sekitar jam 10 malam.

"JKDM percaya sindiket itu sengaja menggunakan premis kosong bagi mengaburi mata pihak berkuasa mengenai kegiatan sebenar mereka.

"Usaha menjejaki pemilik kediaman itu sedang dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Asri memaklumkan sehingga pertengahan Mei penguat kuasa JKDM Pahang berjaya menyita pelbagai jenis komoditi termasuk rokok, minuman keras dan mercun membabitkan nilai cukai RM6.15 juta.

"Sebanyak 66 kertas siasatan dibuka dan 25 individu ditahan bagi membantu siasatan bagi kes berkenaan," katanya.