KATA MP | Tabik buat PM, berani tamatkan subsidi diesel T20
Pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Rabu 22 Mei bahawa kerajaan akan laksanakan penyasaran subsidi diesel adalah satu keputusan kerajaan yang penting.
Saya lihat kerajaan bertindak cermat dan berhati-hati. Buktinya ia bermula dengan diesel dahulu. Subsidi bersasar untuk Petrol RON95 belum diputuskan lagi oleh kabinet.
Ertinya satu perkara dalam satu masa. Tidak terburu-buru.
Selain itu penyasaran subsidi diesel ini hanya melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia sahaja.Tidak membabitkan pengguna di Sabah dan Sarawak memandangkan kebanyakan keluarga di kedua buah negeri itu menggunakan diesel untuk kegunaan kenderaan harian mereka.
Tindakan PM dan kerajaan Madani dalam perkara ini memperlihatkan sikap sebuah kerajaan yang berani dan bertanggungjawab.
Pemimpin yang ada sekarang tidak mengamalkan politik populis.
PM Anwar Ibrahim tentu tahu risiko perlaksanaan subsidi bersasar bermula dengan diesel ini dari segi kesannya kepada sokongan rakyat kepada kerajaan jika pelaksanaan dasar tegas ini tidak diurus dengan baik yang mungkin boleh menjejaskan keputusan dalam pilihan raya umum ke-16 yang akan datang.
Hasil dari subsidi diesel bersasar ini akan menjimatkan wang kerajaan sekitar RM4 bilion setahun.
Dari segi kewangan negara ia dapat memperkukuhkan fiskal kerajaan. Kerajaan akan ada wang untuk pembangunan rakyat dan negara.
Langkah berani kerajaan ini bersifat progresif kerana mengambil kira rakyat berpendapatan rendah dan golongan bawahan.
Yang akan terjejas dengan pelaksanaan dasar subsidi bersasar ini adalah golongan berpendapatan tinggi iaitu T20 yang berpendapatan RM15,000 sebulan dan ke atas.
Sebagai ahli parlimen Pasir Gudang dan juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Perdagangan Dalam Negeri, Kos Sara Hidup, Pertanian dan Keusahawanan, saya menyatakan sokongan kepada keputusan kerajaan dalam usaha awal melaksanakan subsidi bersasar dalam mengatasi cabaran perbelanjaan RM80 bilion yang dikeluarkan kerajaan setiap tahun bagi subsidi pukal.
Selagi rakyat marhaen dan golongan B40 dan M40 tidak menjadi mangsa kepada dasar ini dan selagi kerajaan akan menambah baik peruntukan bantuan kepada rakyat termasuk Sumbangan Asas Rahmah (STR) dan sumbangan Tunai Rahmah (STR) maka saya akan menyokong keputusan kerajaan ini.
Saya percaya RM4 bilion yang dapat dijimatkan dari pelaksanaan subsidi diesel bersasar ini akan membolehkan Kerajaan melaksanakan beberapa langkah membantu golongan bawahan seperti berikut:
a) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dinaikkan;
b) Bantuan murid sekolah ditambah baik;
c) Meningkatkan Kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP)
d) Kerajaan menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, nelayan, pesawah dan peniaga kecil.
Reformasi itu kadang-kadang bukannya sesuatu yang popular.
Reformasi kewangan bagi mengurangkan subsidi yang semakin besar dan tidak tertanggung akhirnya adalah satu contoh reformasi yang mungkin menyakitkan ketika ini.
Tetapi ia akan menyelamatkan ekonomi negara pada masa hadapan.
Ini adalah contoh moment of truth bagi sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Persoalannya hendak buat atau tidak?
Nampaknya PM Anwar dan kerajaan Madani sanggup melaksanakannya. Sama-samalah kita berdoa semoga usaha berani ini berjaya. Insya-Allah.
HASSAN ABDUL KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang.
Tulisan ini tidak semestinya tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai