Skip to main
Logo Malaysiakini

Subsidi bersasar: Tinjauan dapati rakyat resah harga barang akan naik

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Rata-rata rakyat Malaysia masih resah dan bimbang akan kenaikan harga barang berikutan perlaksanaan subsidi bersasar bagi diesel.

Hasil tinjauan Malaysiakini mendapati jaminan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa pengguna kenderaan diesel komersial akan kekal mendapat subsidi belum cukup untuk melegakan hati rakyat.

Usahawan yang hanya mahu dikenali sebagai Syauqi, 33, memberitahu semua harga barangan akan naik setelah subsidi bersasar diesel dilaksanakan.

“Saya yakin semua barang akan naik setelah berbincang dengan rakan-rakan perniagaan saya.

“Kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan oleh perdana menteri membuktikan hal ini,” katanya.

Peniaga sayur-sayuran, juga hanya mahu dikenali sebagai, Amir, 31, memberitahu dia menyokong usaha kerajaan untuk mengelakkan ketirisan subsidi kepada warga asing. Namun, dia risau sekiranya masyarakat tempatan terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Saya rasa mustahil jika tiada kenaikan harga barang. Pengangkutan logistik kebanyakannya menggunakan diesel,” katanya.

Annie

Perkara yang sama turut dipersetujui oleh seorang pengurus kedai francais F&B, Annie yang berusia 36 tahun.

Namun dia melihat kerajaan mempunyai sebab tersendiri untuk melaksanakan polisi ini demi kebaikan negara.

“Saya percaya kerajaan tidak akan melakukan polisi tidak popular ini melainkan ia satu keperluan untuk negara,” katanya.

Pada 21 Mei, Anwar  mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan subsidi bersasar diesel yang dijangka mampu membawa penjimatan kira-kira RM4 bilion kepada negara setiap tahun.

Menurut perdana menteri langkah tersebut akan dijalankan di Semenanjung Malaysia saja kerana keadaannya berbeza untuk situasi di Sabah dan Sarawak.

Anwar menjelaskan langkah tersebut hanya memberi kesan kepada golongan kaya (T20) serta warga asing, manakala kelompok lain termasuk B40 akan tetap mendapat manfaat melalui pelbagai inisiatif kerajaan.

"Kita berikan subsidi kepada pengguna komersial termasuk 10 jenis kenderaan dan 23 pengangkutan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi.

"Kita akan sedia bantuan tunai kepada individu menggunakan diesel (agar) tak terkesan dengan penyasaran subsidi,” katanya.

Peniaga minuman, Haiqal, 30, pula meluahkan rasa khuatir sekiranya dia tidak akan mendapat manfaat daripada bantuan tunai kerajaan.

Dia yang menggunakan van untuk tujuan perniagaan memberitahu dirinya selalu dianggap tidak layak untuk menerima bantuan daripada kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (SARA).

“Saya ini memang B40 namun saya selalu ditolak permohonan untuk dapat bantuan kerajaan. Alasannya saya dianggap terlalu muda

Haiqal

“Saya bimbang jika bantuan untuk subsidi ini juga saya tidak dapat,” katanya.

Tinjauan Malaysiakini juga mendapat ramai juga rakyat Malaysia masih kurang faham akan perlaksanaan subsidi bersasar ini.

Peniaga makanan, Asril Wahab , 66, memberitahu penjelasan kerajaan akan rasionalisasi subsidi agar kurang jelas.

“Saya tak faham akan mekanisme dasar baru kerajaan ini. Akan tetapi kebiasannya polisi-polisi seperti ini memang akan beri kesan kepada harga barang,” katanya.

Ada juga mengkritik tindakan kerajaan yang menarik subsidi serta mengenakan cukai lebih banyak kepada golongan T20.

Seorang pekerja pemasaran berbangsa Cina yang ingin dikenali sebagai BL, 31, memberitahu bukan semua T20 hidup senang.

“Ada T20 hanya pada pendapatan, namun dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ditambah bebanan hutang dia sebenarnya M40.

“Jadi sepatutnya polisi penarikan subsidi petrol ini dikenakan kepada golongan T10 yang terdiri daripada tauke-tauke kaya raya,” katanya.