Skip to main
Logo Malaysiakini

Universiti didakwa tak wujudkan ruang selamat untuk pelajar

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Kelab Feminisme Universiti Malaya (UMFC) menuduh universiti itu tidak berusaha secukupnya untuk mewujudkan ruang selamat untuk pelajar.

Ini selepas permintaan kumpulan itu untuk menubuhkan Jawatankuasa Anti Salah Laku Seksual di bawah kesatuan pelajar dan meminda tatakelakuan semasa ditolak semasa pertemuan dengan wakil universiti.

Presiden UMFC Chin Jes Weng berkata tinjauan yang dilakukan di kalangan 200 pelajar universiti itu pada Januari mendedahkan bahawa seorang daripada lima (kira-kira 40) pernah mengalami gangguan seksual, tetapi hanya kurang daripada lima daripada mereka yang mengambil tindakan.

Ini termasuk menceritakan kepada rakan atau membuat aduan rasmi terhadap gangguan itu.

Chin memberitahu Malaysiakini bahawa walaupun bilangannya kecil, wakil universiti mencadangkan bahawa "peratusan tinggi" kes gangguan yang disebut dalam tinjauan itu adalah disebabkan pelajar salah faham apa yang dimaksudkan dengan gangguan seksual.

"Mereka (wakil universiti) juga mengatakan data itu tinggi kerana pelajar buat cerita (kes) dan mereka 'terlalu sensitif'," kata Chin.

Tinjauan itu juga mendedahkan bahawa separuh daripada responden pernah mendengar tentang kes gangguan seksual yang berlaku kepada orang lain, dengan 13 peratus daripada mereka mengetahui lebih daripada lima kes.

Selain itu, 160 responden tidak tahu cara mengendalikan gangguan, dan kira-kira 83 peratus tidak mengetahui kod antigangguan seksual.

Chin berkata wakil-wakil universiti itu didakwa menyatakan bahawa pelajar tidak tahu apa itu gangguan seksual, memetik contoh seseorang yang melaporkan kes gangguan seksual selepas mendengar jenaka yang tidak sesuai antara dua orang dalam perbincangan kumpulan.

"Mereka terus mengatakan pelajar jahil dan tidak tahu apa itu gangguan seksual sebenarnya," dakwanya.

Kempen pendidikan

Semasa pertemuan itu, Chin berkata universiti itu mengakui bahawa mempromosikan kesedaran jantina memerlukan lebih daripada sekadar meletakkan poster, dan berjanji untuk menjalankan sesi pendidikan dan kesedaran semasa Minggu Orientasi.

Menurut Chin, kod itu sebelum ini dikenali sebagai Kod Amalan Pencegahan dan Pengendalian Kes Gangguan Seksual, sebelum dipinda kepada Kod Toleransi Sifar untuk Eksploitasi Seksual, Penderaan dan Gangguan pada 2021.

Dalam dokumen maklum balas memorandum yang dipetik oleh Malaysiakini, UMFC mencadangkan pindaan kepada beberapa bahagian, termasuk prosedur untuk menerima dan menyiasat kes eksploitasi, penderaan dan gangguan. Mereka mencadangkan agar melibatkan pensyarah Pengajian Gender atau badan profesional yang pakar dalam isu gangguan seksual mengikut keperluan dan kesesuaian semasa.

Universiti menyatakan bahawa apabila kod semasa digubal, ia menggabungkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan dan pakar berkaitan gangguan seksual. Ini termasuk maklum balas daripada pakar kajian am dalaman dan pakar luar seperti Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) dari Bukit Aman.

Susulan pertemuan yang "mengecewakan" itu, Chin berkata kumpulan mereka sedang membincangkan langkah seterusnya.

"Mungkin jika universiti tidak mengubah sikapnya, kami akan menganjurkan untuk mengubah minda terhadap gangguan seksual terlebih dahulu. Pada masa yang sama, kami sedang mempertimbangkan untuk menggunakan Tribunal Anti Gangguan Seksual," tambahnya.

Malaysiakini telah menghubungi Universiti Malaya dan sedang menunggu jawapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!