Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin mahu kes ditangguh sebab 'kepentingan awam yang kuat'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terhadapnya tidak sepatutnya diteruskan sementara menunggu pelupusan permohonan semakannya atas alasan terdapat kepentingan awam yang kuat.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menyanggah permohonan bekas perdana menteri itu untuk menangguhkan kesnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebagai usaha untuk melengahkan kesnya dibicarakan di mahkamah itu.

Dua hujah yang bertentangan ini dilihat dalam afidavit yang difailkan bulan ini berhubung permohonan Muhyiddin menangguhkan kesnya di mahkamah sesyen, sementara menunggu pelupusan permohonan semakannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Menurut afidavit Muhyiddin yang difailkan di Mahkamah Sesyen awal bulan ini, Ahli Parlimen Pagoh itu menyebut mengenai keadaan istimewa untuk mewajarkan penangguhan kesnya.

Dia berkata ini kerana jika Mahkamah Rayuan pada 9 Julai depan membenarkan permohonan semakannya, ia bermakna status untuk dia dilepaskan dan dibebaskan akan dikembalikan.

"Justeru itu, terdapat kepentingan awam yang kuat dalam kes saya untuk mewajarkan prosiding-prosiding di mahkamah yang mulia ini tidak diteruskan sementara pelupusan permohonan semakan tersebut," katanya.

Tambah Muhyiddin, permohonan semakan itu melibatkan perkara kepentingan awam, kerana melibatkan isu sama ada Mahkamah Rayuan hanya mempunyai kuasa untuk mendengar rayuan di mana Mahkamah Tinggi membuat keputusan selepas perbicaraan penuh.

Pengerusi PN itu merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 28 Feb yang membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.

Apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Ogos tahun lepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan pertuduhan salah guna kuasa, keputusan itu tidak dibuat dalam perbicaraan, kerana kes berkenaan belum selesai di Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, dalam afidavit untuk menentang permohonan penangguhan itu, timbalan pendakwa raya Zander Lim Wai Keong mendakwa Muhyiddin cuba melengahkan kesnya daripada diteruskan di mahkamah sesyen.

“Sebaliknya, permohonan pemohon (Muhyiddin) merupakan satu langkah atau percubaan untuk melengahkan kes ini didengar dan dibicarakan oleh Mahkamah (Sesyen) yang mulia ini, dengan pemfailan permohonan semakan di Mahkamah Rayuan, walaupun rayuan responden (pendakwaan) di Mahkamah Rayuan telah diselesaikan pada 28 Feb," kata pendakwa dalam afidavit yang difailkan semalam.

[Baca berita penuh]