Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Di sebalik kemalangan helikopter presiden Iran

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

KOLUM | Iran mengisytiharkan perkabungan negara lima hari ekoran kematian Presiden Ebrahim Raisi dalam kemalangan helikopter Ahad lalu.

Serentak itu Pemimpin Tertinggi Ayatullah Ali Khamenei melantik Naib Presiden Pertama, Mohamad Mokhber sebagai Pemangku Presiden. Pilihan raya presiden baru akan diadakan pada 28 Jun ini.

Helikopter yang allahyarham naiki itu adalah jenis Bell 212. Helikopter itu adalah rekaan Amerika untuk kegunaan tentera Kanada pada tahun 1960-an. Angkatan udara dan laut Iran memiliki 10 helikopter seumpama itu.

Bekas menteri luar, Mohammad Javad Zarif memberitahu TV Iran, bahawa sekatan berpanjangan yang dikenakan oleh Amerika ke atas negara itu menyebabkan Iran tidak dapat membeli pesawat baru. Maka Iran terpaksa menggunakan peralatan lama seperti helikopter Bell 212 itu.

Amerika dengan segera menyatakan bahawa ia tidak terlibat dengan kemalangan itu. Dalam ucapan takziahnya kepada Teheran, Washington sempat menegaskan bahawa “ia tetap menyokong perjuangan rakyat Iran untuk kebebasan.”

Apa yang dimaksudkan dengan “kebebasan” menurut Amerika merangkumi tiga perkara: kebebasan wanita untuk tidak bertudung. Kedua, kebebasan bersuara untuk mengkritik bukan saja kerajaan tetapi juga sistem Republik Islam. Ketiga, kebebasan memilih pemimpin melalui sistem demokrasi terbuka supaya seorang presiden pro-Amerika dapat dipilih.

Pihak Barat tidak menganggap sistem politik yang diamalkan di Iran sebagai demokrasi terbuka. Ini kerana walaupun ada pilihan raya presiden, calon-calonnya perlu kelulusan oleh sebuah majlis pemilih yang bertanggungjawab pada Pemimpin Tertinggi.

Maka apa yang Amerika sebut sebagai “kebebasan” itu adalah perubahan rejim atau pertukaran sistem. Amerika menolak sistem teokrasi Republik Islam dan apa yang dikehendakinya ialah negara demokrasi biasa, iaitu dengan sistem politik terbuka.

Maka dalam hal ini, adakah Amerika mahu menegakkan fahaman politiknya di Iran atau menghendaki supaya tamadun dan cara hidup Barat diamalkan di negara itu? Adakah hendak mengatakan bahawa “sistem Islam” tidak boleh wujud di dunia ini dan perlu digantikan dengan sistem demokrasi Barat saja yang dianggap lebih unggul? Mengapakah Iran tidak boleh dibenarkan untuk memilih sistem dan peradaban mereka sendiri?

Tetapi sesiapapun boleh lihat bahawa soal kebebasan, demokrasi dan sistem Barat adalah kaedah bagi Amerika untuk menguasai Iran. Perspektif Amerika terhadap Iran adalah soal geopolitik. Amerika mahu Iran tunduk pada kehendaknya dan memenuhi kepentingannya di Timur Tengah.

Dua kepentingan Amerika di Timur Tengah

Dua kepentingan Amerika itu ialah minyak dan keselamatan Israel. Soal minyak itu adalah bekalan yang terjamin untuk Amerika. Ia merupakan soal ekonomi. Tetapi jaminan keselamatan Israel merupakan soal ideologi. Maknanya dari segi ideologi, keselamatan Israel adalah sebahagian daripada jati diri nasional Amerika.

Sememangnya Amerika mengamalkan demokrasi terbuka dan siapa-siapa pun boleh jadi presiden. Tetapi dari segi amalannya, hanya calon dari Parti Republikan dan Parti Demokratik yang boleh menang. Sememangnya dalam setiap pilihan raya presiden, terdapat banyak calon. Tetapi akhirnya rakyat memllih salah satu daripada calon parti-parti itu. Ditambah pula, kedua-dua calon itu pula perlu mendapat sokongan dari lobi Yahudi yang membekalkan dana untuk berkempen.

Lobi Yahudi pula menyokong Zionisme dan meletakkan supaya keselamatan Israel sentiasa dipelihara oleh sesiapapun yang menjadi presiden Amerika. Tapi yang menyebabkan Amerika menyokong Israel bukan saja orang Yahudi tetapi juga Zionis Kristian, umumnya dari anggota mazhab Kristian Evangelikal. Jadi ia juga adalah soal ideologi agama. Mereka adalah lebih ramai dan juga menentukan undi bagi kemenangan seseorang calon presiden.

Dalam keadaan begini, Washington sebenarnya tidak berhak memperikaikan demokrasi Republik Islam Iran. Tentulah calon-calon presiden perlu kelulusan dari majlis ulama untuk memastikan sistem di negara ini tidak dimusnahkan.

Iran dianggap ancam kepentingan Amerika

Amerika sejak tertubuhnya Republik Islam pada tahun 1979 sentiasa menganggap Iran mengancam kepentingannya, iaitu termasuk keselamatan Israel. Sebaik saja lepas Revolusi Islam, Iran menghantar bantuan kaum Syiah di Lubnan yang sudah lama tertindas dan dipinggirkan di negara itu. Untuk menghapuskan pejuang Palestin di Lubnan, Israel bukan saja menakluki Lubnan Selatan, malah Amerika menempatkan tenteranya di Beirut.

Atas bantuan Iran, para militan dapat menyerang tentera Amerika hingga mereka berundur keluar dari Lubnan. Iran membantu kaum Syiah di Lubnan dan khususnya kumpulan Hizbullah. Mereka ini kemudian dapat menghalau Israel dari Lubnan Selatan.

Kini, Hizbullah berperanan memberi tekanan pada Israel untuk menghentikan serangannya terhadap Gaza.

Bukan saja Amerika ada kepentingan di Timur Tengah. Iran tentunya juga mempunyai kepentingan di rantau itu. Ada dua kepentingan. Pertama adalah eksistensial. Iran sememangnya berada di Timur Tengah. Amerika berada di luar rantau itu. Kedua, adalah kepentingan ideologikal. Dari segi ideologi Revolusi Islam, pembebasan Palestinal merupakan sebahagian daripada intoli perjuangan.

Maknanya ia merupakan sebahagian daripada jati diri Republik Islam untuk memastikan pembubaran Israel. Dalam keadaan ini, Iran akan sentiasa menjadi musuh pada Amerika dan Israel selagi Palestin tidak dibebaskan.

Tetapi Iran tidak cukup kuat untuk berperang menentang Amerika dan Israel. Sememangnya Israel adalah negara kecil dengan Iran mempunyai kekuatan tentera lebih besar. Tetapi kekuatan Israel berganda-ganda besar apabila dikira penyertaan Amerika.

Persaingan geopolitik

Namun, dalam sains geopolitik, kedudukan terbaik bukan saja bagi negara-negara terlibat tetapi seluruh dunia ialah mengelak peperangan dan mengukuhkan perdamaian. Tetapi syarat untuk itu adalah imbangan kekuatan tentera. Ia adalah sesuatu yang tidak akan tercapai kerana Amerika sentiasa melihat mana-mana negara yang meningkatkan kekuatan tenteranya bererti mencabar kedudukan unggulnya.

Tetapi persaingan geopolitik tidak semestinya melalui kekuatan tentera. Satu kaedah penting ialah melalui pesaingan ideologi. Dari segi persaingan Amerika-Iran, ideologi yang bertembung adalah demokrasi liberal dengan teokrasi“republikan Islam,” iaitu sistem yang diamalkan oleh Iran dan lahir daripada penggubalan doktrin melalui fahaman terhadap ajaran Islam, seperti apa yang dipercayai oleh kebanyakan rakyat Iran.

Bagi Amerika, sistem demokrasi liberal adalah terbaik, dan tentunya dianggap lebih baik daripada teokrasi Syiah. Demokrasi liberal dirumuskan sebagai sistem terbaik untuk semua negara dan manusia dan patut diamalkan oleh semua orang Sistem lain dipandang sebagai tidak manusiawi dan wajar hanya wujud dalam buku sejarah. Sementara sistem teokrasi adalah kolot dan melanggar hak asasi manusia. Bagi Amerika, kebanyakan rakyat Iran pasti lebih suka pada demokrasi liberal berbanding teokrasi republik Islam.

Namun jika dilihat dari sudut persaingan kuasa geopolitik, sistem demokrasi liberal boleh membuka ruang bagi kemunculan ahluli-ahli politik yang pro-Amerika. Perkara ini telah pun berlaku di negara-negara Eropah Timur dan Asia Tengah selepas kejatuhan sistem komunis Soviet Union. Di sana, kepentingan Amerika terletak pada kedudukan Rusia yang lemah supaya ia tidak mencabar kedudukannya.

Jadi, cuba bayangkan jika Iran meninggalkan sistem Republik Islam dan menggantikannya dengan demokrasi liberal. Maka akan muncul parti politik yang pro-Amerika. Dengan bantuan Amerika secara halus atau tersembunyi, seorang calon presiden yang pro-Amerika juga akan muncul. Dengan penglibatan CIA secara ketara atau tidak, calon pro-Amerika mampu untuk menang. Dengan suasana kebebasan media, rakyat Iran boleh diyakinkan bahawa bersikap pro-Amerika adalah suatu yang menguntungkan mereka.

Maka jika presiden dan wakil rakyat pro-Amerika menguasai negara, maka dasar luarnya tentulah bujan saja berbaik-baik dengan Amerika tetapi juga mesra Israel. Jadi, sistem demoktasi liberal menjadi alat tunggangan bagi Amerika untuk memelihara kepentingan mereka.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!