Skip to main
Logo Malaysiakini

Kata-kata manis PM tidak cukup - Bersih

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Pengarah Eksekutif Bersih, Ooi Kok Hin memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana menjadi pemimpin kerajaan yang pertama bertemu dan mendengar tuntutan yang dikemukakan gabungan NGO reformasi pilihan raya itu.

Pun begitu, Ooi berkata janji-janji Anwar masih tidak mencukupi untuk menjamin reformasi pilihan raya akan dilakukan kerajaan pimpinannya itu.

"Pujian harus diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menjadi perdana menteri pertama yang berada ditampuk kuasa sudi bertemu Bersih.

"Tetapi hubungan yang baik, kata-kata yang manis tidak mencukupi buat masa sekarang. Kami mahu melihat tindakan dan pelaksanaan (reformasi pilihan raya)," katanya pada Kongres Bersih yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, setelah 25 tahun reformasi pertama kali dilaungkan Anwar, sehingga hari ini pihaknya masih belum melihat sebarang usaha terhadap perkara itu dibuat oleh pentadbirannya.

"Setelah 548 hari selepas pentadbiran Anwar Ibrahim (pelaksanaan) masih kosong.

“Tiada reformasi pilihan raya berlaku. Ia adalah satu perkara yang mengecewakan," katanya lagi.

Menurut Ooi, parti pemerintah yang memegang tampuk kuasa hari ini mempunyai maklumat serta pengetahuan yang cukup mengenai keperluan untuk melakukan perubahan yang seperti yang dituntut Bersih.

"Mereka bukan tidak tahu apa masalahnya. Mereka bersama kita (membuat tuntutan) sebelum ini.

“Jadi mereka tak perlu diyakinkan (untuk membuat perubahan) lagi," tambahnya.

Pada masa sama, Ooi memuji penambahbaikan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika PRU13 pada 2018 namun berpandangan usaha tersebut masih belum mencukupi.

"SPR telah melakukan usaha yang baik dari segi menambahbaik proses pengendalian pilihan raya pada 2018, tahniah.

"Tetapi masih ada banyak masalah yang perlu diselesaikan, terutamanya masalah sistem," katanya lagi.