Skip to main
Logo Malaysiakini

Parallel pathway: 'Ini isu pendidikan, KPT perlu main peranan lebih besar'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu memainkan peranan lebih besar dalam isu membabitkan kemelut parallel pathway yang hangat diperkatakan pada masa ini.

Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata dalam perkara ini, peranan KPT lebih penting berbanding Kementerian Kesihatan (KKM) kerana ia membabitkan institusi pendidikan.

“Ini mengenai pendidikan dan jika kita tengok asas permasalahan ini, tak ada pun kita cerita mengenai kandungan pengajaran dan kualiti pendidikan.

"Tetapi kita bercakap tentang siapa yang bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan ini, jadi (ia tanggungjawab KPT)," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi debat The Great Parallel Pathway di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia di Kuala Lumpur, hari ini.

Azrul berpandangan isu kesihatan tidak semestinya ditangani oleh kalangan daripada bidang itu, terutama dalam perkara ini.

"Kadang-kadang bila ahli bidang kesihatan kemukakan isu kesihatan kepada mereka yang bukan (dalam bidang), mereka (yang bukan dalam bidang itu) akan kata 'kamu teruskan kerana kamu tahu yang terbaik'. Sebenarnya tidak, khususnya dalam isu parallel pathway," katanya lagi.

Dia berkata demikian ketika ditanya berkenaan gesaan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) agar KKM menyelesaikan kemelut pengiktirafan program parallel pathway bagi pegawai perubatan melanjutkan pengajian ke peringkat pakar yang terus berlarutan, sehingga turut melibatkan UiTM.

Timbalan presiden GPMS Ahmad Thibri Mashri dilaporkan berkata, tindakan melibatkan UiTM bukanlah penyelesaian kepada masalah graduan yang menjalankan program latihan ijazah lanjutan kepakaran yang tidak diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Mengulas lanjut, Azrul berkata ada keperluan untuk semua pemegang taruh berbincang bagi mencari penyelesaian.

"Kita perlu duduk semeja untuk mencari penyelesaian, selain bagi membolehkan pandangan pihak berkaitan termasuk MMC, KKM dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) diambil kira.

"Kesemuanya perlu berpaksikan keperluan untuk adanya pakar di Malaysia dan bukannya UiTM perlu menidakkan atau terus menutup program sedia ada. Itu tidak konstruktif," katanya lagi.

Pada 25 April lalu, portal berita kesihatan Codeblue melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN Raja Amin Raja Mokhtar berkata UiTM setuju membuka laluan kepada pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di situ, susulan kekurangan pakar dalam bidang berkenaan.

Banyak pihak membantah perkara itu, termasuk kira-kira 100 pelajar UiTM mengadakan protes dengan mengenakan pakaian hitam.

Bagaimanapun, bekas pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Ibrahim Abu Shah berkata institusi itu sepatutnya membuka sementara ruang untuk pegawai perubatan bukan bumiputera untuk menyambung pengajian peringkat pakar dalam bidang pembedahan kardiotoraks.

Ibrahim berkata, ketika ini UiTM adalah satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks, dan ruang harus dibuka demi kepentingan negara yang kekurangan doktor pakar dalam bidang itu.