Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersih tetap anggap Sosma 'senjata politik', bimbang risiko aktivis ditahan

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata pihaknya tetap melihat Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) sebagai senjata politik, walaupun akta itu bertujuan menangani keganasan.

Justeru, badan pemerhati pilihan raya itu akan terus menuntut agar Sosma yang disifatkannya sebagai 'akta drakonian' dimansuhkan oleh kerajaan.

"Kita melihat Sosma dijadikan sebagai senjata politik untuk menahan mana-mana individu tanpa perbicaraan.

"Ya, kerajaan boleh gunakan Sosma atas alasan keselamatan, tapi kita tidak tahu lima tahun akan datang, (mungkin ada) aktivis sosial yang tidak terlibat dengan (aktiviti) pengganas akan ditahan (menggunakan akta Sosma)," katanya kepada Malaysiakini selepas sidang media pada Kongres Bersih di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, terdapat garisan yang tidak jelas dalam penggunaan akta tersebut dengan menjadikan penahanan bekas pengerusi Bersih Marina Chin Abdullah di bawah akta itu pada 2018 sebagai contoh.

Ketika itu, Maria ditahan selama 10 hari sebelum perhimpunan Bersih 5 atas alasan menganjurkan aktiviti yang menggugat demokrasi.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata kerajaan perlu membuka ruang perbincangan bersama NGO dan memberi penjelasan mengapa akta itu diperlukan, selain mendengar pandangan mereka tentang mengapa ia perlu dimansuhkan.

Pada kongres yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) itu, sebanyak 19 daripada 20 usul yang dikemukakan telah diluluskan, antaranya usul yang dibawa Suaram agar pemansuhan Sosma terus dimasukkan ke dalam agenda reformasi Bersih.

Ditanya adakah wajar ahli keluarga suspek dalam kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram ditahan di bawah akta itu, dia menjawab pihak berkuasa sebaiknya menggunakan undang-undang sedia ada yang lain.

"Jika terdapat bukti keterlibatan mereka, (lebih) wajar mereka ditahan di bawah undang-undang sedia ada selain daripada Sosma.

"Ini kerana dalam konteks undang-undang sedia ada, tahanan reman sudah mencukupi," katanya lagi.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan lima ahli keluarga lelaki yang menyerang balai polis Ulu Tiram minggu lalu ditahan di bawah Sosma.

Razarudin berkata keluarga itu ditahan semula di bawah akta itu selepas siasatan polis mendapati mereka mempunyai ideologi dan fahaman radikal.

Dalam kejadian serangan pada 2.54 pagi pada 17 Mei lalu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis berusia 22 dan 24 tahun, serta suspek berusia 21 tahun. Seorang lagi anggota polis cedera.